utama

'Kes curi, bukan bunuh 4 anak'

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

VIDEO tular di laman sosial, hari ini yang mendakwa seorang wanita ditahan di Bera kerana menyebabkan kematian empat anaknya adalah tidak benar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan berkata, wanita itu sebenarnya ditahan di Kampung Baru Mengkuang, Bera pada 9 November lalu berkait kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Polis Pahang menafikan kejadian yang ditularkan itu... tidak benar dan tidak wujud insiden sebegini (bunuh) di Bera.

“Bagaimanapun, tangkapan wanita itu memang berlaku dan dia sudah dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh, pada 13 November lalu serta sudah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian yang tular itu memaparkan seorang wanita ditahan dua anggota polis di sebuah rumah.

Keterangan video tular itu mendakwa wanita berkenaan ditahan kerana menyebabkan kematian empat anaknya akibat mencampurkan ubat batuk ke dalam botol susu.

Sementara itu, Othman meminta orang ramai supaya menghentikan penyebaran video terbabit bagi mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat.

Disiarkan pada: November 22, 2018 @ 4:56pm
d