utama

Terima kasih rakyat Malaysia

Oleh Redzuan Muharam

KUALA LUMPUR: “Saya terlalu rindukan dia dan bersyukur kerana Allah memakbulkan doa saya serta adik-beradik untuk melihat dia kembali ke pangkuan kami sekeluarga,” kata Basrida Sabar, 35, kakak sulung kepada Siti Aisah, 27, yang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi, Rinku General Medical Center, Osaka, Jepun sejak 24 Oktober lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru dan jantung.

Siti Aisah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang jam 4 petang semalam dengan diiringi dua doktor dan seorang jururawat sebelum dibawa ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Basrida berkata, dia dimaklumkan mengenai kepulangan terbabit pada malam kelmarin selepas dihubungi seorang lagi adiknya, Siti Rozita, 31, yang menjaga Siti Aisah sepanjang mendapat rawatan di Jepun.

“Hubungan kami terlalu rapat dan disebabkan itu, saya amat sedih selepas dimaklumkan keadaannya ketika di sana.

“Namun kami sekeluarga tidak dapat berbuat apa-apa kecuali berhubung setiap hari dengan Siti Rozita menerusi aplikasi WhatsApp bagi mengetahui perkembangan terkini Siti Aisah.

“Selebihnya kami hanya mampu berdoa dengan harapan supaya dia kembali sembuh seterusnya pulang ke Malaysia dengan selamat.

“Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan dan memberi kata-kata semangat kepada kami untuk terus cekal menghadapi ujian ini,” katanya.

Sementara itu, Siti Rozita yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, doktor memberi pelepasan kepada Siti Aisah untuk pulang ke Malaysia, Isnin lalu, selepas melihat tahap kesihatannya bertambah baik.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu, dia terus berkongsi khabar gembira terbabit dengan ahli keluarganya dan bersyukur kerana urusan itu dipermudahkan dengan bantuan syarikat insurans.

“Ikutkan Siti Aisah perlu mendapatkan rawatan di Jepun sehingga bulan depan namun dibenarkan pulang lebih awal kerana keadaannya sudah stabil dan beransur pulih.

“Menurut doktor, Siti Aisah seperti diberi nyawa kedua kerana peluangnya untuk hidup hanya tinggal 10 peratus saja ketika pembedahan dijalankan namun dengan izin Allah, dia dapat bertahan hingga ke hari ini.

“Saya bersyukur kerana selepas kisah adik saya tular dan dipaparkan di Harian Metro, ramai memberi sumbangan, seterusnya membantu saya menjelaskan bil perubatan,” katanya.

Pada 14 November lalu, akhbar ini melaporkan kisah Siti Aisah yang memerlukan bantuan RM500,000 bagi menampung kos perubatannya di Rinku General Medical Center selepas mendapat jangkitan kuman di jantung dan paru-paru.

Lebih menyedihkan gadis itu tidak dapat melihat jenazah ibunya yang meninggal dunia akibat komplikasi hati pada 1 November lalu kerana masih mendapatkan rawatan di Jepun ketika itu.

Disiarkan pada: November 23, 2018 @ 8:01am
d