utama

Noryn serius fokus kerjaya

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Percaturan Noryn Aziz menyertai program Gegar Vaganza musim kelima berbaloi apabila dia dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang RM100,000.

Meski pada awalnya Noryn mendapat pelbagai maklum balas orang sekeliling, dia tekad menyertai program itu.

Noryn, 42, atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd Aziz mengakui perjalanan untuk sampai ke tahap itu tidak semudah disangka.

Biarpun dari awal pertandingan lagi namanya disebut-sebut sebagai bakal juara berdasarkan kredibiliti dan kualiti dimiliki, Noryn sedikit pun tidak menyifatkannya sebagai kelebihan.

Sebaliknya, Noryn yang popular menerusi lagu

Fantasi O Realiti berkata, dia masih perlu belajar apabila berada dalam pertandingan itu.

“Hampir setiap minggu iaitu bermula Isnin, saya tak boleh tidur. Saya risau memikirkan bagaimana nak menyanyikan lagu yang diberi.

“Apabila masuk pertandingan ini, saya kena asah balik semua asas dan teknik nyanyian. Pendek kata, saya seperti masuk sekolah semula,” katanya.

Namun, seperkara yang membuatkan peminat kagum mengenai Noryn apabila sepanjang pertandingan itu dia dihimpit dengan kisah pergolakan rumah tangga dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Bagaimanapun, Noryn membuang jauh semua masalah yang ada dengan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pertandingan itu.

“Sejujurnya, saya tak fokus sepenuhnya masalah ini. Saya tak letakkan ia yang utama sebaliknya lebih memikirkan kerjaya kerana itu masa depan saya selepas ini.

“Bagi saya, pembabitan dalam program ini tidak boleh dipersiakan begitu saja. Apatah lagi saya masih dalam usaha bina semula nama dan kerjaya untuk teruskan kehidupan.

“Saya ada anak yang perlu dibesarkan. Saya kena letak masalah ini jauh-jauh,” katanya.

Menurut Noryn, anak lelakinya, Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia empat tahun adalah sumber kekuatan.

Pada masa sama, kasih sayang dan sokongan diberikan ibu bapa serta orang sekeliling membuatkan dirinya lebih positif.

“Saya juga manusia biasa, punya perasaan dan sudah tentu masalah ini membelenggu diri.

“Maka, saya tukar setiap apa yang berlaku menjadi sesuatu yang positif dan kadangkala saya alihkan ia masuk ke dalam lagu.

“Nyanyian boleh mengalihkan perhatian daripada perkara yang merunsingkan dan buat saya rasa seperti insan biasa,” katanya.

Noryn dan suami berkahwin pada Januari 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Noryn dan suami menunggu perbicaraan penuh selepas memfailkan perceraian pada akhir tahun lalu.

Tak kecil hati kena komen

Selain berfikiran positif dengan masalah yang menghimpit dirinya, Noryn mengakui tidak sedikit pun berkecil hati dengan komen dilemparkan pelakon Fauziah Ahmad Daud pada persembahan peringkat separuh akhir.

“Saya tak ambil hati langsung dengan komen Kak Ogy. Saya tak terasa pun.

“Saya pernah belajar dengan Kak Ogy dan saya tahu dia individu yang sangat mengambil berat mengenai persembahan.

“Saya hormati dia kerana dia primadona kita semua. Siapa boleh sangkal kehebatan persembahan dan lakonan Kak Ogy? Kak Ogy hanya satu,” katanya.

Kongsi Noryn, dia ada berhubung dengan pelakon filem Ali Setan itu bagi mendapatkan tip dan nasihat dalam persembahan.

“Mungkin ramai tak tahu, sepanjang pertandingan kami saling berhubung. Saya bukan nak kata dia boleh cakap apa saja, tetapi saya menghormati pendapat diberi.

“Dia berikan saya banyak tip iaitu bagaimana harus mempersembahkan sesebuah lagu. Tidak sekadar menyanyi malah perlu ada jiwa dan karakter.

“Maka, ketika dia komen persembahan saya pada minggu separuh akhir, saya terus menghubunginya dan kami masing-masing tergelak. Antara kami memang tiada apa-apa masalah dan saya tak mahu memperbesarkan perkara ini,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaannya memasuki bidang lakonan, Noryn tidak mahu tolak rezeki yang datang.

“Saya tidak tolak untuk berlakon satu masa nanti. Namun, sebelum itu mungkin saya kena masuk kelas lakonan dahulu dan minta Kak Ogy ajar.

“Kalau betul ada rezeki dalam bidang lakonan, kenapa tidak?” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 6:02am
d