utama

[UPDATE] Seorang lagi meninggal dunia

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG lagi menemui ajal menjadikan dua ahli geng konvoi motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 405 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Hulu Selangor, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Muhamad Nur Shafiq Kamil Mukmin, 18, disahkan maut ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.

Terdahulu, dalam kejadian jam 10 pagi itu, seorang penunggang motosikal Mohd Faridzuan Shariff, 20, disahkan maut di lokasi kejadian.

Difahamkan, kumpulan bermotosikal terbabit dipercayai dalam perjalanan untuk menjamu selera di sebuah restoran di Sungkai, Perak.

Setakat ini, enam lagi mangsa termasuk tiga wanita berusia antara 18 hingga 20 tahun parah akibat kemalangan terbabit.

Rakan mangsa, Mohd Aqil Daniel Mohd Sadri, 18, berkata Muhamad Nur Shafiq atau mesra dengan panggilan Shafiq ada mengajaknya untuk pergi bersama ke restoran berkenaan, malam semalam.

Katanya, dia bersama Shafiq pergi menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam sebelum mangsa mengajaknya menyertai konvoi terbabit.

“Saya terpaksa menolak ajakan Shafiq kerana ada urusan lain. Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh rakan bahawa Shafiq terbabit dalam kemalangan dan bergegas ke Hospital Sungai Buloh sebelum dimaklumkan dia sudah meninggal dunia.

“Sebelum ini, Shafiq pernah terbabit dalam kemalangan pada Jun lalu menyebabkan dia trauma untuk menunggang motosikal. Saya difahamkan Shafiq membonceng motosikal bersama sepupunya, Ahmad Syahmi Ahmad Suhaili, 18, ketika kejadian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Phai berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sekumpulan penunggang motosikal berhenti di lorong kecemasan kerana seorang daripada mereka terbabit dalam kemalangan.

“Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora juga berhenti di lokasi kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa sebelum mereka dilanggar sebuah treler yang datang dari arah belakang.

“Enam motosikal, sebuah MPV dan sebuah treler terbabit dalam kemalangan ini. Pemandu treler berusia 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

Lori rempuh konvoi motosikal

Disiarkan pada: November 25, 2018 @ 6:35pm
d