utama

Seronok jadi bulan

Oleh Georgie Joseph

KETIKA ini Zahirah MacWilson antara nama yang terus mendapat perhatian dalam bidang lakonan.

Kredibiliti dimiliki nyata cukup hebat walaupun baru membina nama dalam tempoh beberapa tahun.

Walaupun berusia berusia 23 tahun, pencapaian Zahirah sememangnya sudah cukup membanggakan. Meledak menerusi drama Mencintaimu tidak lama dulu, dia terus mengorak langkah dalam misi meletakkan namanya dalam kelompok pelakon hebat.

Terbaru, pelakon jelita itu diberi kepercayaan menjadi teraju filem arahan Ghaz Abu Bakar berjudul Bulan Dan Pria Terhebat.

Dia sangat teruja terutama selepas pertama kali mendapat watak utama dalam filem itu sebagai Bulan.

“Sememangnya saya gementar namun bersyukur dan teruja kerana itu watak yang saya impikan selama ini. Saya benar-benar seronok ketika melakukan penggambaran.

“Walaupun baru tiga tahun bergelar pelakon, saya gembira apabila akhirnya dapat watak utama untuk filem. Ini bukan filem pertama yang saya dapat, sebenarnya banyak tawaran juga sebelum ini. Namun, jadual kerja yang bertindih tidak mengizinkan saya untuk menerima tawaran terdahulu,” katanya.

Bakal tampil dengan watak wanita lasak dalam filem itu, Zahirah juga pertama kali merasai memegang senjata. Menurutnya, dia terlebih dulu diminta berlatih menggunakan senjata sebelum ke set penggambaran.

“Ini pengalaman yang cukup berharga buat saya. Memang sangat gementar awalnya namun saya gembira apabila dapat merasai pengalaman menggunakan senjata dalam filem ini.

“Jurulatih yang memantau sewaktu latihan pun terkejut dengan keupayaan saya menembak. Bagi saya, dalam hal ini semua bergantung kepada kesungguhan kita selain suka apa yang dilakukan,” katanya.

Tindakan Zahirah memuat naik foto wataknya sebagai Bulan sebelum ini turut mendapat perhatian ramai. Rata-rata mengatakan watak berkenaan ada persamaan dengan Lara Croft lakonan Angelina Jolie dalam filem Tomb Raider.

Berkongsi mengenai perkara itu, pelakon terbabit tidak menafikan dia sebenarnya terharu apabila disamakan dengan Angelina.

“Saya agak terkejut apabila disamakan dengan Lara Croft. Pada masa sama, memang gementar rasanya apabila memikirkan sekiranya saya tidak mampu menggalas watak itu dengan baik.

“Bagaimanapun, Ghaz memang sangat membantu apabila berada di set penggambaran. Saya juga pasti melakukan yang terbaik kerana watak ini adalah watak impian yang memang kena dengan jiwa saya,” katanya.

Teruja dipilih OPPO

Ditemui pada pelancaran model R17 Pro jenama pintar global terkemuka, OPPO baru-baru ini, Zahirah mengakui teruja diberikan penghormatan itu.

Menurutnya, dia berharap kerjasama dengan jenama berkenaan adalah satu langkah lagi buatnya menjadi duta kepada OPPO.

“Sebenarnya saya sangat suka bekerjasama dengan jenama ini. Walaupun cuma diberikan kepercayaan untuk skuad selebriti OPPO, saya berharap ini adalah pembuka kepada peluang menjadi duta mereka.

“Kebanyakan aktiviti saya adalah tentunya untuk mempromosikan jenama berkenaan. Selain itu, saya akan turun padang untuk membuat kemunculan dalam setiap program yang mereka adakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahirah bakal sibuk dengan jadual yang ketat sehingga September tahun depan.

“Sekarang ini, fokus saya memang untuk kerjaya lakonan semata-mata. Hakikatnya, saya sudah terikat dengan pelbagai komitmen sehingga September tahun depan.

“Saya memang menyasarkan untuk terus mengukuhkan nama dalam bidang lakonan. Disebabkan itu, saya gembira dengan tawaran demi tawaran yang datang dan bersyukur rezeki tidak putus,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 8:03am
d