utama

Kedai jajah parkir

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KUALA LUMPUR: Jajah kawasan parkir dan kaki lima premis. Itu yang berlaku ketika pemeriksaan dilakukan petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di deretan kedai makan terletak di Jalan Danau Niaga 1 dan Jalan Usahawan di sini.

Pemeriksaan mendapati bahagian dalam premis dipenuhi gerai manakala di luar premis pula diletakkan kerusi meja hingga menghalang lalu lintas di laluan berkenaan.

Susulan itu semua kerusi, meja dan barangan jualan yang menghalang lalu lintas di lokasi itu disita dalam Operasi Tegas (Op Tegas) dilakukan penguat kuasa DBKL dengan kerjasama Jabatan Kesihatan DBKL dan pihak polis semalam.

Pengarah Jabatan Penguat Kuasa DBKL Azman Mahmood berkata, dalam operasi bermula jam 8 malam itu, tiga kedai makan dikenakan tindakan sita barangan selepas didapati meletakkan barang di depan premis mereka yang menghalang lalu lintas.

“Hasil pemeriksaan mendapati sepanjang laluan di deretan kedai makan itu dipenuhi dengan meja, kerusi dan pelanggan yang menjamu selera.

“Kami mengambil tindakan sita terhadap barangan diletakkan di kawasan yang menghalang lalu lintas mengikut Seksyen 46 (1) (d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Antara barang disita termasuk kerusi, meja serta barangan jualan lain diletakkan di laluan di depan premis berkenaan sebelum barangan itu dibawa ke stor sitaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Azman berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap ketiga-tiga premis berkenaan mendapati terdapat beberapa gerai yang menyewa di dalam kedai makan diperiksa.

“Berdasarkan keterangan pemilik kedai makan itu, mereka mengaku menyewa premis kepada gerai makanan lain untuk mengaut keuntungan berganda.

“Itu adalah antara faktor mereka meletakkan kerusi, meja serta barangan jualan di depan premis dan laluan sekitar premis berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 9:33am
d