utama

33 kejohanan dalam 365 hari

Oleh Redzuan Muharam

KUALA LUMPUR: Sembilan tahun lalu, Yim Heng Fatt, 48, hanyalah pelari amatur menyertai aktiviti larian untuk memantapkan stamina kerana mahu menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah.

Namun, siapa sangka semua itu menjadi titik permulaan buatnya untuk lebih aktif dalam sukan berkenaan dan kini dia mencipta rekod sebagai rakyat Malaysia pertama yang menyempurnakan 100 siri ultra maraton.

Rekod itu dicipta selepas Yim menamatkan siri larian dalam Kejohanan Ultra maraton di Janda, Pahang, pada 20 Oktober lalu.

Yim kini bekerja sebagai penasihat teknologi maklumat bebas berkata, penyertaan dalam sukan berkenaan bukan disebabkan dorongan sesiapa sebaliknya keinginan sendiri untuk mencuba.

Katanya, kepuasan menyempurnakan larian hingga ke garisan penamat membakar semangatnya untuk menyertai lebih banyak kejohanan maraton dan ultra maraton.

“Pada awal pembabitan, catatan masa peribadi saya tidaklah begitu memuaskan, tetapi pengalaman ditimba cukup berharga dan memberi semangat untuk terus menyertai kejohanan bagi memperbaiki prestasi diri.

“Bermula dengan 10 kilometer (km), saya sertai pula acara maraton jarak 21km, 42km sebelum beralih kepada ultra maraton 50km diikuti 100km pada Jun 2011.

“Sejak itu, saya terus mencabar diri dengan menyertai pelbagai acara ultra maraton termasuk di luar negara dan tahun lalu merekodkan penyertaan paling banyak iaitu 33 kejohanan,” katanya.

Setakat ini, Yim mengambil bahagian dalam penganjuran sukan itu di sekitar negara ASEAN seperti Singapura, Thailand dan Filipina selain turut ke Australia.

Menurut Yim, meskipun aktif dalam sukan itu dia sebenarnya bukan mengimpikan pingat atau menaiki podium semata-mata.

Sebaliknya, pembabitannya dalam sukan itu digunakan sebaiknya untuk menambah pengetahuan dan mendisiplinkan diri terutama aspek pemakanan serta rutin gaya hidup.

“Penyertaan saya dalam maraton dan ultra maraton bukan untuk bersaing dengan sesiapa sebaliknya didorong oleh keinginan menguji tahap kemampuan diri dalam sukan ini.

“Malah, menerusi sukan ini juga, saya dapat menimba pengetahuan baru antaranya teknik bagi mengelakkan kecederaan dan cara mengekalkan stamina.

“Menariknya, pengetahuan dan pengalaman itu tidak hanya memberi manfaat kepada diri sendiri kerana saya sedia berkongsi dengan sesiapa saja terutamanya mereka yang baru berjinak-jinak dalam sukan ini,” katanya.

Meskipun sudah mencipta rekod peribadi membanggakan, Yim tidak cepat berpuas hati kerana menganggap masih banyak lagi ruang untuknya memperbaiki prestasi.

Malah, dia berazam untuk terus aktif dengan menyasarkan penyertaan dalam kejohanan di Taiwan dan China.

“Saya bercadang untuk menyertai kejohanan di dua negara berkenaan kerana belum pernah bersaing di sana sebelum ini.

“Diharap perancangan itu dapat direalisasikan pada tahun depan dan mengenai soal hala tuju, saya belum terfikir untuk berhenti kerana sudah sebati dengan sukan ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 10:07am
d