utama

[UPDATE] Tiada unsur perkauman kata polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TIADA unsur perkauman dalam insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di Subang Jaya, 2 pagi hari ini, membabitkan puluhan individu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu.

“Dalam kes ini, tidak ada unsur perkauman terbabit dan apa yang berlaku hanya perselisihan faham antara dua kumpulan saja. Kejadian ini adalah kes terpencil yang berkaitan dengan isu pemindahan kuil berkenaan.

“Orang ramai diminta menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian itu dengan isu perkauman. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan ketenteraman awam berhubung isu berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Subang Jaya, hari ini.

Mazlan berkata, bilik gerakan IPD Subang Jaya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 2.45 pagi tadi.

“Hasil maklumat diterima, pihaknya menghantar sebuah kereta peronda ke lokasi. Bagaimanapun, cermin belakang kereta peronda itu pecah selepas dibaling menggunakan batu oleh perusuh menyebabkan anggota bertugas meminta bantuan daripada unit lain.

“Ketua Polis Daerah Subang Jaya (Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari) tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit selepas menerima panggilan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kira-kira 50 lelaki berada dalam kawasan kuil terbabit, manakala beberapa individu lain berada di luar pagar kuil.

“Berlaku caci mencaci dan cabar mencabar antara kedua-dua kumpulan berkenaan mengakibatkan pertembungan kedua-dua pihak terbabit.

“Dua lelaki berusia lingkungan 30-an cedera dalam kejadian itu. Selain itu, 18 kenderaan termasuk dua motosikal di kawasan berkenaan dibakar,” katanya yang memaklumkan kedua-dua mangsa cedera dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Mazlan berkata, kedua-dua lelaki yang cedera itu ditahan bagi membantu siasatan.

“Kami juga menemui beberapa parang dan senjata yang digunakan dalam rusuhan itu. Kejadian itu juga menyebabkan kerosakan di kuil terbabit.

“Pada masa sama, kami juga sedang menyiasat pemilik kenderaan yang dibakar dan meneliti jumlah keseluruhan kerugian dalam kejadian itu,” katanya.

Katanya, keadaan di kuil terbabit sudah kembali tenang dengan kawalan lebih 700 anggota daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bersama unit lain di lokasi berkenaan.

“Saya yakin lebih ramai lagi yang akan ditahan selepas ini bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan pencerobohan, merusuh, khianat dengan api serta kesalahan lain.

“Saya memberi amaran kepada semua pihak supaya bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri yang melanggar undang-undang.

“Biar pihak polis melakukan tugas kami dan jangan bawa perkara ini hingga ke tahap keganasan yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil itu mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun, pada 25 Oktober lalu, kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan ketika urusan pemindahan dijalankan.

Berita berkaitan

Bergaduh sampai 18 kenderaan terbakar

Disiarkan pada: November 26, 2018 @ 11:22am
d