utama

'Doakan tunang saya..'

Oleh Safeek Affendy Razali

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang diserang sekumpulan perusuh berhampiran Kuil Sri Mariamman, Subang Jaya, hari ini, dilaporkan dalam keadaan selamat.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh tunangnya, Nurul Najihah, menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook miliknya sebentar tadi.

Nurul dalam hantarannya menyatakan Adib yang juga adalah anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dalam keadaan selamat dan meminta pihak yang tidak mengetahui keadaan sebenar tunangnya menghentikan penyebaran perkara yang tidak benar.

"Tunang saya masih selamat. Tolonglah hentikan yang bukan-bukan. Doakan dia (Muhammad Adib),” tulisnya.

Kenyataan yang dikeluarkan Nurul dipercayai turut merujuk kepada beberapa penyebaran hantaran berita palsu bahawa Adib sudah meninggal dunia termasuk salah seorang individu yang menggunakan nama 'Zack Ma' yang mendakwa menerima maklumat Muhammad Adib sudah meninggal dunia.

Terdahulu, Nurul juga yang dilaporkan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) turut meluahkan kesedihannya yang tidak terdaya melihat keadaan tunangnya yang parah menerusi laman sosial yang sama

“Kamu kuat. Cepat bangun kamu Muhammad Adib. Doakan tunang saya... tak kuat tengok kamu macam itu,” tulisnya lagi.

Sebahagian besar pengguna Facebook yang terdiri rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa turut melahirkan rasa simpati kepada Nurul selain mendoakan keselamatan tunangnya.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib, yang berada dalam tempat duduk hadapan Ambulans ERMS Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, dilaporkan ditarik keluar oleh sekumpulan perusuh sebelum dipukul hingga patah tulang rusuk serta mengalami kecederaan dalaman.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 27, 2018 @ 3:10pm
d