utama

'Tak kenal mereka'

Oleh Fazrik Kamarudin

SUBANG JAYA: “Yang datang pagi ini (semalam) ada lebih 10,000 orang. Saya tidak kenal semua. Mereka yang bertanggungjawab terhadap perlakuan masing-masing (termasuk insiden memecahkan cermin pusat beli-belah One City),” kata Pengerusi Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman Seafields USJ 25, SW Ramaji.

Beliau memberi jawapan itu ketika ditanya wartawan berhubung kecederaan parah dialami anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang dibelasah ketika mahu memadamkan kebakaran.

Ramaji berkata, pihaknya tidak terbabit dengan insiden itu, selain mendesak campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kes pemilikan tanah kuil itu.

“Kami minta Perdana Menteri campur tangan dalam hal ini, kami kecewa dengan Kerajaan Selangor dan polis.

“Ia berikutan kes sudah timbul sejak pertengahan tahun lalu dan pihak badan bertindak diugut hampir setiap hari.

“Ratusan laporan polis dibuat namun masih tiada tindakan dibuat,” katanya pada sidang media di kuil itu di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia merangkap anggota badan bertindak itu, Datuk A Chandrakumanan.

Sementara itu, Chandrakumanan berkata, pihaknya tidak akan berganjak daripada kuil itu sekurang-kurangnya sehingga pendengaran mengenai penghakiman persetujuan tanah disebut semula di Mahkamah Tinggi Shah Alam, esok.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: November 28, 2018 @ 10:30am
d