utama

IG Jong Suk hampir digodam

Oleh Georgie Joseph

ISU godam akaun media sosial dalam kalangan artis sememangnya tidak pernah berkesudahan. Itu antara perkara yang paling ditakuti mana-mana artis.

Terbaru, pelakon Korea Selatan, Lee Jong Suk hampir menjadi mangsa godam selepas ada individu cuba mendaftar masuk akaun Instagram miliknya.

Pelakon itu jelas runsing dengan perkara itu dan turut memuat naik mengenainya di Instagram.

Kelmarin, dia sempat memuat naik foto paparan skrin mengenai percubaan menggodam akaunnya itu.

“Siapa kamu...Jangan lakukan ini,” tulisnya.

Menerusi foto berkenaan, percubaan individu tidak bertanggungjawab itu dikesan dilakukan di Daejeon, Korea Selatan.

Rata-rata peminat juga bimbangkan Jong Suk dan mencadangkan supaya individu berkenaan dihukum. Mereka membuat cadangan itu sebagai langkah supaya tidak berulang atau berlaku kepada artis lain.

Akaun Instagram pelakon itu memiliki pengikut lebih 14 juta. Disebabkan itu, peminat turut mencadangkan Jong Suk memfailkan saman jika dapat menangkap dalang terbabit.

Sejak kebelakangan ini, beberapa artis di Korea Selatan turut terkena apabila ada individu cuba menggodam akaun mereka antaranya anggota TWICE iaitu Jihyo.

Disebabkan percubaan itu, Jihyo memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penggodam itu.

Penggodam itu dikatakan cuba mengakses maklumat peribadinya selain meminta wang daripada ahli keluarganya.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 5:30am
d