utama

Lawak kurang ajar

Oleh Agensi

MADRID: Seorang pelawak dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa menghina negara itu selepas dilihat menghembuskan hidungnya pada bendera Sepanyol di kaca televisyen dalam satu rancangan satira popular.

Dalam rancangan satira El Intermedio, Dani Mateo dilihat berpura-pura mahu terbersin sebelum mencapai bendera yang berada di sebelahnya.

Selepas menghembus hidungnya pada bendera itu, Mateo buat-buat terkejut dan terus memohon maaf sambil berkata, dia tidak berniat mahu menghina rakyat Sepanyol, raja dan rakyat China yang menjual kain itu.

Daily Mail melaporkan, tindakannya itu menimbulkan kemarahan Kesatuan Polis yang menganggap ia adalah satu penghinaan sebelum membuat aduan rasmi pada 31 Oktober lalu.

Menerusi laman Twitter, polis Guardia Civil berkata, bendera itu adalah simbol terhadap perpaduan rakyat.

“Hormatilah ia. Ia bukan satu perkara yang kelakar jika anda tidak menghormati bendera dan ia amat menyinggung perasaan rakyat yang sentiasa berasa bangga.

“Ini termasuk mereka yang berkorban nyawa dan berusaha demi mengecapi keamanan serta kebebasan yang menjadi simbol kepada bendera ini,” tulisnya dalam Twitter.

Beberapa aktivis pula beranggapan, tindakan terhadap Mateo itu menimbulkan kebimbangan terbaru terhadap hak kebebasan bersuara di Sepanyol selepas beberapa kes membabitkan artis yang disiasat dan dipenjara di negara itu.

Mateo berkata, dia bimbang dengan keadaan itu dan memberitahu, pelawak hanya melakukan kerjanya.

“Sebagai rakyat di negara ini, saya bimbang kerana kita menjatuhkan seorang pelawak kerana melakukan tugasnya.

“Ia amat membimbangkan saya terhadap imej yang dibawa oleh negara ini dan benderanya,” katanya kepada wartawan.

Sebelum ini, beberapa pengguna Twitter dan penyanyi rap juga didakwa selepas cuba menyebarkan keganasan dan menghina raja dalam komen dan lirik lagu mereka.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 6:31am
d