utama

Ratu istimewa

Oleh Redzuan Muharam

KUALA LUMPUR: “Saya tidak menjangka akan jadi juara, namun tetap bersyukur dan berharap pencapaian diraih memberi inspirasi kepada lebih ramai orang kurang upaya (OKU).

“Mereka di luar sana kena berani dalam mengetengahkan bakat yang ada,” kata Nur Ashikeen Iqbal, 28, juara pertandingan Wheelchair Queen Malaysia 2018 berlangsung di Star Light Banquet Arena, Petaling Jaya, Ahad lalu.

Kemenangan dalam pertandingan anjuran Harry International Talent itu melayakkan Nur Ashikeen membawa pulang cincin berlian batu Ruby jenama Ceres Jewels bernilai RM20,000.

Wanita ini juga menerima hamper, tajaan mengikuti kursus Bahasa Inggeris selama enam bulan bernilai RM3,000 dan mewakili Malaysia pada pertandingan Miss Wheelchair World di luar negara tahun depan.

Nur Ashikeen, lumpuh dari paras pinggang ke bawah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Singapura 10 tahun lalu.

Katanya, dia langsung tidak meletakkan sasaran atau mengimpikan untuk menjadi juara pertandingan.

Sebaliknya, anak kedua daripada tiga adik-beradik itu mengambil bahagian kerana mahu menimba pengalaman baru.

Baginya pertandingan seumpama itu satu platform terbaik untuk OKU sepertinya menonjolkan bakat dan meningkatkan keyakinan diri.

“Empat tahun lalu, saya menyertai pertandingan pencarian bakat anjuran sebuah pasar raya tetapi pada waktu itu belum ada rezeki.

“Meskipun begitu, saya tidak kecewa kerana menganggap pengalaman lebih penting dan disebabkan itu, saya sahut cabaran untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

“Lagipun, keluarga dan rakan memberi sokongan penuh, dorongan mereka menyuntik semangat untuk membuktikan kemampuan sebenar diri,” katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Psikologi di Wawasan Open Universiti (WoU) ini juga berbakat dalam bidang nyanyian dan setakat ini merakam empat single termasuk satu lagu berbahasa Melayu.

Tambah Nur Ashikeen, apa yang penting baginya dapat bersaing secara sihat dengan 14 finalis lain dalam kalangan OKU pelbagai kategori.

Menurutnya, peluang itu amat bermakna dan tentunya menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

“Saya berterima kasih kepada penganjur terutama pengarahnya, Sanggeetha Veloo kerana menyediakan platform khusus untuk kami menonjolkan bakat terpendam,” katanya.

“Difahamkan, pertandingan ini akan dijadikan acara tahunan dan saya berharap lebih ramai OKU mengambil bahagian selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 8:02am
d