utama

Bangunlah nak...

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

KUALA TERENGGANU: “Setiap hari saya berdoa supaya anak sedar daripada koma, malah kami sekeluarga sangat merindui gelak tawanya,” kata Rozita Rani, 53, ibu kepada Muhammad Nor Aiman Aqil Ghazali, 22, yang kini koma selepas terbabit kemalangan pada 14 Oktober lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 7.30 malam apabila motosikal ditunggang anaknya dirempuh haiwan melintas jalan ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit China, Wakaf Mesira.

Katanya, rempuhan menyebabkan Muhammad Nor Aiman Aqil parah di kepala dan tidak sedarkan diri serta masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Kejadian berlaku 600 meter dari rumah kami. Saya sangat terkejut dan sehingga kini masih setia menunggunya di sini (HSNZ).

“Ibu mana yang tidak bersedih melihat anak dikandung sembilan bulan menderita begini.

“Setiap hari saya tidak berhenti mendoakan kesihatannya pulih, sedar daripada koma ini.

“Memang berat ujian kali ini untuk kami sekeluarga namun perlu reda kerana ia sudah ditetapkan Allah SWT,” katanya ketika ditemui di HSNZ, semalam.

Suaminya, Ghazali Mat Min, 55, pula berkata, anak sulungnya merancang untuk menyambung pengajian dan mengambil Diploma Kejuruteraan Sivil, malangnya tidak kesampaian disebabkan kemalangan itu.

“Dia anak sulung yang kami sandarkan harapan untuk membantu keluarga. Saya berharap dia pulih secepat mungkin,” katanya yang memberitahu lokasi kemalangan anaknya kerap berlaku nahas.

Katanya, faktor jalan gelap mendorong kemalangan dan penduduk sudah mengajukan aduan untuk diwujudkan lampu jalan serta tambah aspek keselamatan lain.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 9:01am
d