utama

'Tergamak kau buat macam tu...'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KERONGKONG dijolok dengan rotan sehingga berdarah selain dipukul sehingga lebam. Itu nasib malang seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang menjadi mangsa dera abang dan kakak kandungnya di kediaman mereka di Taman Desa Aman, di Kulim.

Perbuatan kakaknya berusia 33 tahun dan abangnya, 35, yang dipercayai mendera mangsa sejak kecil, akhirnya terbongkar selepas orang awam menyedari kejadian itu pada jam 2.30 petang kelmarin.

Mereka yang simpati dengan nasib wanita berusia 29 tahun itu kemudian memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, pihak JKM yang menerima maklumat berhubung kejadian itu kemudian memaklumkan kepada polis.

Katanya, susulan itu, polis dan pihak JKM ke lokasi dan mendapati mangsa ketika itu bersama ibunya berusia 50-an sebelum terus menyelamatkannya dan membawa wanita itu ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan.

“Siasatan juga mendapati mangsa adalah pelatih Pusat Dalam Komuniti Taman Desa Aman dan tinggal bersama ibu, abang dan kakaknya yang bekerja kilang, manakala bapa mereka sudah meninggal dunia.

“Suspek juga dipercayai dijolok dengan rotan di kerongkongnya secara kuat sehingga berdarah selain terdapat kecederaan teruk di seluruh badan,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, mangsa kini masih menerima rawatan di hospital dan doktor mengesahkan terdapat kesan luka dan kesan dera di seluruh badan selain kesan parut lama.

“Suspek sudah ditahan sebaik datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk menyerah diri malam tadi.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan mereka direman tiga hari bermula hari ini,” katanya.

Difahamkan, wanita terbabit adalah OKU kategori Kurang Upaya Pelbagai dengan lebih daripada satu jenis ketidakupayaan.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 1:15pm
d