utama

'Ganjaran' tuisyen 500 km

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

BERULANG-ALIK setiap minggu ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan jarak melebihi 500 kilometer membuahkan hasil buat Fariz Danial Izal Azhari apabila memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018.

Fariz Danial, 12, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Teruntum, Kuantan, memaklumkan dia baharu berpindah ke sekolah itu pada awal tahun ini dan sudah selesa mengikuti kelas tuisyen di ibu negara.

“Setiap hujung minggu ayah akan hantar saya ke Bukit Jalil, untuk mengikuti kelas tuisyen dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Kalau difikirkan semula memang penat kerana perlu menempuh perjalanan jauh hanya untuk tuisyen.

“Tetapi bila dapat keputusan hari ini saya bersyukur kerana usaha saya sepanjang tahun ini tidak sia-sia,” katanya ketika ditemui di SK Teruntum, di Kuantan, hari ini.

Katanya, dia terpaksa berkorban masa dan tenaga sepanjang tahun kerana bukan sahaja perlu mengikuti kelas tuisyen di Kuala Lumpur, malah perlu mengikuti pembelajaran ulang kaji bersama ibunya di rumah mereka di Sungai Isap, di Kuantan.

Beliau yang bercita-cita untuk menjadi saintis berkata, ibunya akan membantunya mengulangkaji pelajaran dalam subjek Sains dan Matematik setiap hari selain bertanyakan perkembangannya di sekolah.

Anak kedua daripada tiga beradik itu memaklumkan walaupun sibuk menelaah pelajaran dia tidak melupakan pesan ayahnya yang meminta dia sentiasa membaca dan menghafaz al-Quran setiap hari.

“Saya cuba cari masa setiap hari selepas belajar untuk baca dan hafaz al-Quran kerana pada saya bila saya melakukan perkara itu ia membantu dalam memudahkan saya belajar,” katanya.

Bapanya, Izal Azahri Ishak, 36, yang bekerja dalam industri minyak dan gas berkata, beliau tidak kisah menghabiskan kira-kira RM1,000 sebulan untuk anak lelakinya tuisyen di Kuala Lumpur.

Katanya, Fariz Danial yang sebelum ini bersekolah di SK Bukit Jalil memberitahu dia selesa belajar di sana dan disebabkan perkara itu dia sanggup berkorban masa dan wang ringgit bagi memastikan anaknya fokus dalam pelajaran.

“Memang kadang kala dia mengadu penat nak rehat sebagainya tapi kita sebagai ibu bapa perlu pandai bimbing dan beri dorongan kepada mereka hasilnya hari ini dia dapat keputusan seperti yang dia inginkan,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Ahmad Daniel Hakim Mohd Rizal, 12, yang turut memperoleh 6A berkongsi kejayaannya hari ini disebabkan sering menghafaz al-Quran.

Katanya, percaya apabila dia kerap menghafaz al-Quran membuatkan dia lebih mudah untuk menerima pelajaran diajar guru di sekolah.

“Bila belajar di kelas saya fokus sepenuhnya begitu juga bila ulangkaji pelajaran, segalanya menjadi mudah senang untuk saya terima apa yang diajarkan oleh guru,” katanya.

Beliau yang bercita-cita menjadi penghafaz al-Quran pada masa hadapan berharap kejayaannya itu dapat dikekalkan pada peringkat sekolah menengah.

Disiarkan pada: November 29, 2018 @ 1:45pm
d