utama

Azharina perbaiki kelemahan

Oleh Ardini Sophia Sina

WALAUPUN sudah 18 tahun bergelar penyanyi, Azharina Azhar masih bimbang dengan penerimaan umum terhadap setiap lagu yang dinyanyikannya.

Kata wanita yang mesra disapa Nina ini, perasaan itu mengusik jiwanya setiap kali tampil dengan lagu baru. Namun, Nina berterima kasih kerana terus mendapat sokongan padu peminat yang sentiasa bersamanya sejak awal kemunculan.

Menganggap namanya tidak segah rakan penghibur lain,

Nina tetap bersyukur kerana masih berada dalam industri muzik dan kerap menerima jemputan memeriahkan majlis korporat.

“Saya rasa mana-mana penyanyi pun akan ada perasaan bimbang. Saya juga begitu. Saya paling bimbang orang tidak dapat menerima lagu yang saya nyanyikan. Namun, saya sangat berterima kasih atas sokongan peminat yang tidak berkesudahan.

“Nama saya mungkin tidak besar seperti rakan penyanyi lain tetapi saya bersyukur dan lega kerana sehingga ke hari ini saya masih menerima undangan memeriahkan majlis,” katanya.

Popular dengan lagu Elegi Sepi, kata Nina, hingga hari ini dia masih belum berjaya tampil dengan lagu yang mencetuskan fenomena sama seperti single yang dimuatkan dalam album keduanya itu.

Bercakap mengenai lagu baru Lakar Janji, Nina tidak meletakkan sebarang harapan tinggi sama seperti Elegi Sepi dan berserah pada rezeki daripada Allah.

“Selepas Elegi Sepi, ada beberapa lagu yang turut mendapat tempat seperti Tsunami Kasih, Rawan dan Cinta Terbagi Dua tetapi lagu-lagu itu masih belum berjaya menyaingi kehebatan Elegi Sepi.

“Untuk Lakar Janji, saya serahkan kepada rezeki sama ada mampu menandingi Elegi Sepi. Jika sebaliknya pun, itu semua adalah perjalanan yang sudah ditetapkan oleh Allah. Saya hanya mampu berusaha, berdoa dan tawakal,” katanya.

Masih mengambil kelas dengan guru vokal, kata Nina, dia tidak pernah selesa dengan apa yang dikecapinya. Dia nekad untuk memperbaiki setiap kelemahan dan meningkatkan kelebihannya.

Mendapat gelaran penghibur itu bukan mudah. Banyak dugaan dan pengalaman pahit yang ditempuhnya. Malah, dia juga sanggup melabur untuk menyertai kelas ‘grooming’.

“Dulu, mendapat gelaran penghibur itu susah. Harus menang beberapa pertandingan, masuk kelas ‘grooming’ dan belajar vokal. Saya juga pernah kena marah oleh komposer. Prosesnya sukar dan memakan masa namun itulah yang menjadikan penyanyi itu berkualiti dan bertahan sehingga sekarang.

“Kalau lihat sekarang ini, gelaran artis itu terlalu mudah untuk diberikan. Nyanyi di media sosial dan viral terus jadi artis. Populariti didahulukan dan kualiti adalah yang kedua. Bagaimanapun, tidaklah saya katakan semua artis baru seperti itu. Saya akui, ada ramai juga yang benar-benar berkualiti,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 5:30am
d