utama

Punah dalam abu

Oleh Siti Rohana Idris dan Hazira Ahmad Zaidi

KOTA BAHRU: Remuk hati seorang bakal pengantin apabila semua persiapan perkahwinannya esok musnah dalam kebakaran rumah pusaka keluarga di Jalan Gajah Mati di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, barang hantaran, cenderamata dan baju pengantin yang akan digayakan Hasmi Marina Mohd Zahari, 26, pada hari bahagia hanya tinggal abu.

Lebih memilukan hati apabila mereka 14 sekeluarga tidak lagi mempunyai tempat tinggal.

Seorang daripada ahli keluarga Hasmi Marina adalah ibu saudaranya yang juga bekas wartawan sambilan NSTP Kelantan, Rosliza Mohamed, 44.

Hasmi Marina berkata, kebakaran yang berlaku secara tiba-tiba itu turut menyebabkan ibunya, Rohaya@Yati Mohamad, 54, sesak nafas dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini.

“Ketika kejadian, saya baru saja menyiapkan barang hantaran dan cenderamata untuk tetamu di majlis perkahwinan yang akan berlangsung esok, namun secara tiba-tiba terhidu bau asap.

“Kemudian saya nampak sofa di ruang tamu di tingkat atas rumah terbakar. Kami cuba memadamkan api tetapi gagal dan ia merebak dengan cepat.

“Dalam keadaan tidak terkawal itu, hanya fikir menyelamatkan diri saja dan tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa barangan penting,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Dia memberitahu sempat membawa keluar sepupunya, Nur Nisrin Adelia Mohd Azhar, 9, dan Muhammad Rifqi Amsyar, 4, yang nyenyak tidur, sebelum masuk semula ke dalam rumah yang marak terbakar untuk menyelamatkan datuknya, Mohamed Hussin, 86.

Ditanya sama ada majlisnya diteruskan esok, Hasmi Marina berkata, hanya akad nikah saja berlangsung di Masjid Muhammadi di sini, atas permintaan keluarga pengantin lelaki.

“Mungkin juga diadakan kenduri doa selamat secara kecil-kecilan sejurus majlis itu di rumah ibu saudara di Wakaf Bharu, Tumpat memandangkan semua tetamu sudah diundang.

“Kami reda dengan takdir ini dan anggap ada hikmah yang Allah turunkan buat kami. Buat masa ini, kami menetap sementara di rumah saudara,” katanya.

Terdahulu, Ketua Zon Kota Bharu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu jam 12.46 tengah malam dan tiba lapan minit kemudian.

“Seramai 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, BBP Darulnaim dan BBP Pengkalan Chepa serta lima daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kota Bharu dan PBS Pengkalan Chepa ke lokasi.

“Sebaik tiba, rumah dua tingkat ini terbakar 80 peratus dan api marak dengan cepat disebabkan sebahagian besarnya daripada struktur kayu.

“Api dikawal dalam tempoh 13 minit dan operasi tamat jam 3.19 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 8:02am
d