utama

'Boikot ulat tiket, biar mereka rugi'

Oleh Zulfaizan Mansor

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengingatkan penyokong Harimau Malaya supaya tidak membeli tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF antara Malaysia dan Thailand, esok daripada ulat tiket.

Ia susulan harga tinggi diletakkan oleh ulat tiket berbanding harga ditetapkan bagi aksi akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Difahamkan, terdapat ulat tiket meletakkan harga sehingga RM80 untuk sekeping tiket dan ia jauh lebih tinggi berbanding harga asal RM30 bagi tempat duduk terbuka.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataan hari ini menjelaskan tindakan memboikot boleh membuatkan ulat tiket berkenaan mengalami kerugian.

Beliau percaya langkah itu mampu mengurangkan kegiatan ulat tiket daripada terus berleluasa pada perlawanan besar akan datang.

“Namun jika penyokong terus dengan tabiat tidak kisah untuk berbelanja lebih membeli tiket yang sudah digandakan harganya oleh ulat tiket, ia hanya akan membuatkan perkara ini akan berlanjutan dan tidak boleh dihapuskan sampai bila-bila.

“FAM turut akan mengambil langkah proaktif pada masa depan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membasmi kegiatan ulat tiket ini daripada industri bola sepak negara.

“Mungkin kita tak boleh untuk menghilangkan terus, tetapi kita mampu untuk mengurangkannya dengan memboikot ulat tiket bermula dengan perlawanan Sabtu ini (esok).

“Jika tiada permintaan, maka tiadalah penawaran," katanya.

Sebanyak 80,000 tiket bagi perlawanan esok sudah habis terjual semalam, dengan tiket bagi tempat duduk utama berbumbung bernilai RM40, RM30 bagi tempat duduk terbuka dan RM5 bagi tiket kanak-kanak.

Bukan saja di Malaysia, masalah ulat tiket yang cuba mengaut untung berganda ini bukan isu baharu dalam arena bola sepak dunia terutama apabila membabitkan perlawanan tumpuan.

Namun, sehingga kini isu berkenaan tampak tiada kesudahan kerana sikap penyokong yang sanggup membayar dengan harga lebih tinggi daripada harga asal demi menyaksikan perlawanan di stadium.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 7:06pm
d