utama

Jennifer tetap merendah diri

Oleh Ardini Sophia Sina

WALAUPUN banyak melakonkan watak lain, sehingga hari ini peminat mengingatinya kerana watak sebagai Katniss Everdeen menerusi trilogi filem The Hunger Games.

Memiliki populariti dan mampu hidup mewah, Jennifer Lawrence masih dengan sikapnya yang merendah diri.

Oleh itu, perwatakan itulah menjadi salah satu sebab peminat terus tertarik dengan wanita ini.

Ramai beranggapan Jennifer beroleh kejayaan dalam sekelip mata. Bagaimanapun, baginya banyak dugaan dan turun naik dalam kerjaya perlu dilalui untuk berada di puncak karier.

Jennifer adalah pelakon yang bijak. Mungkin akan ada peminat yang terkejut apabila mengetahui wanita itu sebenarnya tidak pernah mendapat pendidikan formal pada usia remajanya.

“Saya berhenti belajar pada usia 14 tahun. Saya tidak ada diploma atau apa saja sijil peperiksaan dari sekolah. Ketika belajar di sekolah, saya tidak rasa sebijak rakan sekelas lain.

“Namun, ketika membaca skrip, saya tahu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana untuk menyampaikannya. Ia adalah satu-satunya perkara yang saya yakin boleh lakukan dan tidak mahu melepaskannya.

“Saya ingin membina jalan sendiri. Saya menemui perkara yang ingin dilakukan dan tidak mahu ada apa-apa yang menghalang. Untuk beberapa tahun, saya mementingkan kerjaya lebih daripada kawan,” katanya.

Permulaan karier Jennifer tidaklah terlalu mudah. Dia pertama kali menghadiri uji bakat untuk video pendidikan veterinar yang kemudian menjadi platform untuk bergerak selangkah ke hadapan.

Jennifer berlakon dalam beberapa sitkom seperti Monk dan Medium dan The Bill Engvall Show. Melihat bayaran yang diterima, Jennifer pernah terfikir untuk terus mencurahkan bakatnya untuk drama seumpama itu.

Bagaimanapun, pada 2010, Jennifer yang diberikan kepercayaan oleh Deborah Granik untuk memegang watak utama terus diberikan kepercayaan oleh pengarah dan produser lain untuk membintangi karya mereka.

Kerjaya Jennifer terus cemerlang. Dia tampil dengan watak Raven atau Mystique menerusi X-Men: First Class diikuti watak sebagai Katniss, pejuang keadilan dalam filem The Hunger Games.

“Kejayaan yang saya kecapi sekarang ini bukan diraih dalam masa sehari. Terlalu banyak yang saya lalui untuk berada pada tahap ini. Tidak pernah saya impikan akan berada kedudukan ini namun ini adalah hasil kerja keras,” katanya yang bakal muncul dengan filem X-Men: Dark Phoenix yang akan ditayangkan pada 6 Jun tahun depan.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 5:30am
d