utama

Bukan ajaran islam

Oleh Fahmy Azril Rosli

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya peperangan di Yaman yang menyebabkan ribuan kanak-kanak di negara itu mati kebuluran kerana kekurangan makanan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika dilihat, situasidi negara Islam itu bercanggah dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, konflik sehingga tercetus peperangan antara Arab Saudi dan puak penentang Houthi di negara itu langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat termasuk kedua-dua pihak.

“Adakah itu ajaran dibawa Islam sehingga menyebabkan kanak-kanak kebuluran dan mati hanya kerana kamu mahu berlawan antara satu sama lain untuk tentukan siapa tadbir negara? Itu salah.

“Kita (orang Islam) mulakan apa-apa pun dengan membaca Bismillahhirrahmanirrahim, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kita tidak bersikap penyayang. Sudah tentu ini salah dan mengundang dosa kerana membelakangi ajaran Islam.

“Walaupun anda menang, kemusnahan yang anda dapat lihat adalah maksimum. Kita perlu menjaga sesama manusia,” katanya dalam satu wawancara dengan sebuah portal tempatan.

Beliau mengulas pergolakan di Yaman, antara negara Arab paling miskin yang terbabit dalam perang antara pemberontak Houthi dengan kerajaan yang disokong Arab Saudi serta sekutunya sejak 2014.

Tentera pakatan diketuai Arab Saudi itu melancarkan serangan udara besar-besaran serta menyekat laluan perdagangan menyebabkan bekalan makanan serta perubatan terputus.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 10,000 orang awam, termasuk kanak-kanak terbunuh akibat konflik itu namun jumlah sebenar kematian dianggar lebih tinggi.

Projek Lokasi Konflik Bersenjata (ACLED) serta agensi kebajikan menganggarkan sehingga 56,000 orang awam terbunuh.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 7:56am
d