utama

'Tak pernah ada dalam sejarah...'

Oleh Hasbi Sidek

“PERTAMA kali dalam sejarah di negara ini apabila anggota bomba yang bertugas dibelasah perusuh sehingga separuh mati,” kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Dr Soh Chai Hock.

Menurutnya, beliau amat sedih apabila anggota berkenaan, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, dipukul dengan begitu teruk oleh perusuh dalam insiden di di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 24, Subang Jaya, Selasa lalu.

Menurutnya, perkara sedemikian juga tidak pernah berlaku sepanjang 36 tahun beliau berkhidmat dalam JBPM.

“Saya kini sudah berusia 74 tahun, tidak pernah ada orang belasah anggota bomba begitu teruk,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Soh berkata, Seksyen 5 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 menyatakan tugas bomba adalah untuk memadam kebakaran, melindungi harta benda dan nyawa, menjalankan khidmat kemanusiaan serta tugas lain seperti arahan menteri.

“Anggota bomba adalah friend of people (rakan kepada orang awam) dan mereka tidak terbabit dengan apa-apa yang menentang perusuh, tugas mereka adalah memadamkan kebakaran.

“Orang awam atau perusuh kena ambil tahu bahawa menyerang anggota bomba tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta tindakan tegas perlu diambil terhadap perusuh yang mencederakan Muhammad Adib

“Saya mahu perusuh mendapat hukuman setimpal atas kelakuan mereka," katanya,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 2:39pm
d