utama

Suami isteri sehidup semati

Oleh Rizalman Hammim

IMAM Masjid Jamek Simpang Renggam, dekat Kluang dan isterinya meninggal dunia dalam tempoh selang dua jam, di rumah mereka di Kampung Simpang Renggam, Kluang, awal pagi hari ini.

Pada mulanya, Bera Madiran, ditemui meninggal dunia oleh isterinya, Maimunah Dariman, kira-kira 4.30 pagi ketika dia bangun untuk solat Subuh.

Selepas memberitahu anaknya tentang kematian Bera, Maimunah menemani jenazah suaminya di bilik tidur mereka sebelum dia ditemui turut meninggal dunia oleh anak lelakinya 6.30 pagi.

Kisah itu dikongsi dalam Facebook (FB) Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM).

Ahli SPJM Simpang Renggam, Sharul Aqmal Mohamad berkata, pasangan itu itu tinggal bersama dua anak lelaki.

Katanya, selepas menyedari suaminya meninggal, Maimunah memaklumkan kepada dua anaknya yang kemudian membuat persiapan dan menghubungi saudara mereka, manakala Maimunah menemani jenazah suaminya.

Bagaimanapun katanya, anaknya yang memasuki semula bilik itu mendapati Maimunah turut meninggal dunia di sisi bapa mereka, 6.30 pagi.

“Kematian Bera mengejutkan kerana sebelum itu, dia sempat mengimamkan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Jamek Simpang Renggam, malam tadi. Arwah sebenarnya menghidap diabetis, manakala isterinya mempunyai kanser limfoma dan baru menjalani kimoterapi,” katanya.

Shahrul Aqmal berkata, arwah Bera adalah pesara guru agama sebelum menjadi imam masjid berkenaan.

Jenazah suami isteri itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Sungai Berumbung, dekat sini, 10.30 pagi tadi.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 3:46pm
d