utama

'Demi maruah...'

Oleh Junaidi Ladjana

GADIS berusia 14 tahun maut selepas dipercayai dipukul oleh jirannya yang cuba merogol mangsa di kawasan kebun pokok buluh, Pulau Gaya, Semporna, Rabu lalu.

Mangsa, Amalin Julmin yang tiada dokumen pengenalan diri, ditemui oleh ibu saudaranya dalam keadaan berlumuran darah di kawasan kebun kira-kira 100 meter dari rumah ibu saudaranya, jam 3 petang, hari sama.

Mangsa yang separuh sedar kemudian dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan kerana parah di bahagian kepala.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas berkata, mangsa tinggal bersama ibu saudaranya.

Ketika kejadian, ibu saudaranya itu menyedari gadis berkenaan tiada di rumah selepas wanita itu pulang dari membeli ikan.

“Ibu saudaranya meminta bantuan orang kampung untuk mencari mangsa. Sejam selepas itu, wanita itu menemui mangsa di kawasan kebun pokok buluh dalam keadaan berlumuran darah dan separuh sedar.

“Ketika itu, ibu saudara bertanya kepada mangsa siapa yang mencederakannya, sebelum mangsa menjawab jirannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peter berkata, susulan kejadian, suspek berusia 29 tahun yang membuat laporan polis bagi menafikan pembabitannya, ditahan selepas selesai membuat laporan polis, sehari selepas kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian terdapat tiga tompokan darah dan polis merampas sebilah parang panjang yang patah.

“Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian suspek cuba merogol mangsa lalu memukulnya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 4:11pm
d