utama

Adrian, Tun Ameerul lakar sejarah

Oleh Saiful Affendy Sapran

 

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi melakar sejarah pada Kejohanan Bowling Lelaki Dunia di Hong Kong apabila gandingan Adrian Ang-Tun Ameerul Al Hakim muncul juara menerusi acara beregu hari ini.

Ini adalah kali pertama Malaysia memenangi acara itu sejak kejohanan berkenaan diperkenalkan pada tahun 1979.

Pada penentuan final, pasangan negara itu menewaskan EJ Tackett-Andrew Anderson dari Amerika Syarikat (AS) dengan keputusan 433-370.

Adrian berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama yang baik dengan Tun Ameerul.

"Kami beraksi dengan baik, sentiasa bersabar dan bekerjasama sebagai satu pasukan,” kata Adrian.

"Apabila kami berada di separuh akhir, kami sememangnya meletakkan sasaran untuk melangkah ke final.

 "Terima kasih kepada keluarga, rakan sepasukan, jurulatih dan pengurus yang sentiasa memberi sokongan kepada kami sepanjang saingan di sini."

 AS adalah juara bertahan bagi acara itu tahun lalu di Las Vegas menerusi gandingan Chris Barnes-Tommy Jones.

 Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara itu sebelum ini adalah menerusi Alex Liew-Muhamad Aiman yang meraih perak pada tahun 2010 di Munich, Jerman.

 Dengan kemenangan itu, Malaysia kini sudah meraih dua emas selepas Muhammad Rafiq Ismail melakar sejarah lebih awal semalam apabila muncul juara dalam acara perseorangan.

 

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 9:47pm
d