utama

Giliran luluh

Oleh Sudirman Mohd Tahir

TIADA yang lebih membanggakan penyanyi popular Khai Bahar apabila lagu ciptaan dan nyanyiannya, Luluh mara ke Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) yang bakal berlangsung pada Februari tahun depan.

Apa yang menarik, lagu itu dihasilkan Khai, 24, sebelum dia bergelar penyanyi lagi.

Siapa sangka daripada suka-suka, lagu itu membawa tuah untuk Khai sekali gus menempa nama di pentas berprestij yang mengiktiraf komposer dan penulis lirik itu.

Jika edisi sebelumnya Khai bertanding dengan menyanyikan lagu komposer lain iaitu Bayang, kali ini dia menggalas tanggungjawab besar kerana mewakili keseluruhan lagu itu.

Berbicara mengenai karya sulung ciptaannya itu, Khai berkata, liriknya ditulis berdasarkan pengalaman orang sekeliling yang bukan saja melalui episod putus cinta, tetapi juga jatuh bangun dalam kehidupan.

“Kalau baca setiap bait lagu ini, saya percaya semua pernah merasai seperti yang disampaikan dalam lagu ini.

“Saya menghasilkan melodi dan lirik ketika berdepan pelbagai ragam orang sekeliling. Ada yang putus cinta, mengalami kejatuhan, merasai jerih-perih kehidupan dan kesungguhan untuk bangkit semula.

“Lagu ini bukan mengenai saya, cuma saya ambil setiap kisah yang berlaku kemudian rangkumkan dan diterjemahkan dalam lagu. Alhamdulillah, bagi mereka yang melalui pengalaman sama dapat merasai dan menjiwai lagu ini,” katanya.

Menurut Khai, dia merakamkan lagu itu selepas mendapat permintaan daripada peminat yang menginginkan Luluh diterbitkan sebagai single ketiga.

Malah, terlebih dulu lagu itu menjadi kegilaan dalam kalangan peminat yang sejak awal jatuh cinta dengan melodi dan lirik Luluh selepas dimuat naik di YouTube tiga tahun lalu.

“Saya memang tidak sangka sama sekali lagu ini boleh pergi jauh. Saya bersyukur dengan apa diterima. Malah, apabila ia layak ke AJL33, ia satu pencapaian terbaik untuk saya. Apatah lagi, ini lagu ciptaan saya sepenuhnya.

“Sebagai orang baru dalam bidang penciptaan lagu, sudah tentu ia sesuatu di luar jangkaan. Sampai sekarang saya seperti masih bermimpi. Pada awalnya, saya menghasilkan lagu ini secara suka-suka untuk dimuat naik di YouTube.

“Namun, apabila mendapat maklum balas positif daripada peminat saya beranikan diri untuk merakamkannya. Apabila ia dilancarkan, dalam fikiran saya adalah ini satu percaturan. Saya juga reda dan terima apa saja kritikan terhadap lagu ini,” katanya.

Lagu dan muzik video Luluh sudah mencecah tontonan 39 juta sejak dilancarkan Julai tahun lalu.

Buang gemuruh

Kali kedua menjejakkan kaki ke pentas akhir AJL, Khai nekad untuk tidak mengulangi kesilapan sebelumnya.

Perasaan gemuruh yang menguasai dirinya ketika itu sedikit sebanyak mencacatkan persembahan dan nyanyian Khai.

“Saya tahu perasaan ini susah nak buang. Apatah lagi berada di pentas pertandingan AJL yang disaksikan jutaan penonton. Secara semula jadi, perasaan ini pasti muncul.

“Namun, untuk kali ini saya cuba buang perasaan itu. Mulai sekarang saya akan belajar cara berdepan dengan apa saja situasi supaya tidak gemuruh atau gementar. Malah, saya mahu jadi lebih berani.

“Selain itu, saya ingin meningkatkan tahap keyakinan dalam diri. Saya yakin, ini juga cara terbaik untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, Khai berjanji memberikan persembahan terbaik sekali gus meninggalkan memori indah buat peminat setianya.

Menurut Khai, dia juga akan mengikuti kelas vokal bagi memantapkan mutu nyanyian dan persembahan.

“Berada di pentas AJL adalah impian setiap penyanyi. Jadi, apabila sekali lagi layak beraksi saya berasakan ia peluang yang tak boleh dipersiakan begitu saja.

“Penyertaan pada edisi sebelumnya saya anggap platform untuk mendapatkan pengalaman. Banyak saya pelajari waktu itu. Insya-Allah, kali ini saya cuba memberikan persembahan terbaik.

“Sebagai persediaan, saya akan mengikuti semula kelas vokal selain ingin meningkatkan tahap keyakinan dalam diri. Selebihnya, saya berserah pada rezeki Allah SWT,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 6:30am
d