utama

Akhirnya dapat keadilan

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang lelaki yang meringkuk dalam penjara selama 23 tahun mendapat harapan baharu untuk meneruskan kehidupan apabila dia dilepaskan daripada tuduhan membunuh seorang wanita berusia 20 tahun pada 1995.

Jin Zhehong yang kini berusia 50 tahun dilepaskan Jumaat lalu selepas Mahkamah Tinggi Rakyat Jilin membuat keputusan bukti tuduhan itu tidak mencukupi dan mempunyai fakta yang tidak jelas.

Keputusan mahkamah itu sekali gus membatalkan keputusan yang dibuat sebelum ini apabila defendan didapati membenarkan mangsa menumpang motosikalnya sebelum dibunuh dan mayatnya dibuang di sebuah kawasan terpencil.

Defendan melalui perjalanan kes pembunuhan paling lama di China apabila menjalani empat kali perbicaraan dan dijatuhkan empat kali hukuman mati sebelum namanya dibersihkan 23 tahun kemudian.

Berdasarkan keputusan mahkamah yang diedarkan peguamnya, Li Jinxing kepada South China Morning Post, mahkamah mendapati bukti dalam perbicaraan sebelum ini bercanggah dan fakta utama seperti waktu dan tempat kematian serta senjata digunakan dalam pembunuhan tidak dapat dibuktikan.

Mahkamah membuat rumusan bahawa tidak ada bukti kukuh yang mengaitkan Jin terhadap pembunuhan itu memandangkan tiada bukti DNA ditemui pada mayat dan dakwaan asal yang hanya berdasarkan pengakuan defendan adalah tidak berasas.

Li memberitahu, anak guamnya juga mengalami masalah kesihatan sebaik dijatuhkan hukuman penjara.

“Dia mengalami angin ahmar dan beberapa penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis. Keadaan mentalnya teruk dan fizikalnya turut terjejas.

“Walaupun keadilan diberi lewat namun ia masih dianggap sebagai keadilan buatnya,” katanya.

Manakala Jin berkata, ketika di penjara, dia sering tertanya-tanya sama ada masih ada peluang untuknya membersihkan nama.

“Saya sering bertanya kepada diri sendiri sama ada boleh membetulkan situasi ini kerana saya tidak membunuh sesiapa,” katanya.

Katanya, dia ingin meluangkan masa dan tinggal di pusat jagaan orang tua di kampung halaman di daerah Yongji, wilayah Jilin selepas meringkuk lama di penjara.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 7:32am
d