utama

Tinggal mati, lari pun mati... [METROTV]

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TRIPOLI, Lubnan: Bukan sekadar makan rumput malah penduduk yang berada di Syria juga terpaksa meminum air daripada radiator kenderaan yang tersadai demi kelangsungan hidup.

Air daripada radiator itu antara sumber bekalan air yang dicari bagi digunakan untuk memasak atau diminum.

Wartawan difahamkan, tiada lagi sumber bekalan air di sana berikutan sungai sudah kering menyebabkan kehidupan penduduk yang terkepung dalam kancah peperangan semakin sukar dan terdesak.

Atas faktor itu, kenderaan termasuk yang rosak seperti kereta atau lori menjadi antara benda dicari penduduk semata-mata mahu mendapatkan air daripada radiator.

Menceritakan peritnya hidup di Syria, seorang pelarian Khaled At Tawel berkata, air radiator antara ikhtiar hidup penduduk di Homs yang masih berada di sana dan tidak dapat lari meninggalkan negara itu.

Katanya, bagi mengalas perut, penduduk memakan apa saja tumbuhan yang ditemui termasuk daun pokok serta rumput.

“Mereka tiada lagi sumber makanan dan minuman. Semua sudah disekat.

“Punca makanan serta air semula jadi juga sukar dicari. Mereka makan apa saja tumbuhan yang ada bagi mengalas perut yang lapar demi kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Abi Samrak, di sini, semalam.

Khaled berkata, kebanyakan saudara-maranya serta penduduk yang masih berada di Homs bukan saja dalam keadaan kelaparan, sebaliknya terdesak mahu meninggalkan negara itu.

“Cuma masalahnya, untuk keluar dari situ agak sukar kerana bila-bila masa saja nyawa boleh melayang jika dilihat oleh kumpulan yang berperang.

“Kedua-duanya, tinggal... akan mati, lari juga berkemungkinan mati,” katanya.

Pek RM155 ukir senyuman penghuni kem pelarian Syria

TIDAK seberapa, namun cukup bermakna.

Itu nilai sebuah pek makanan berharga RM155 setiap satu yang diterima pelarian Syria di tiga kem pelarian di sempadan Syria dan Lubnan, di sini.

Biarpun hanya mengandungi beberapa barangan makanan seperti minyak sapi, kacang dal, tepung serta bijiran gandum, keju, makaroni dan biskut, ia sudah cukup menampung keperluan makanan mereka untuk beberapa minggu.

Menerusi misi pengagihan bantuan kepada pelarian di Lubnan yang masuk hari kedua, sebanyak 267 pek makanan diagihkan oleh Syria Care.

Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pengagihan dilakukan di tiga kem membabitkan agihan 45 pek makanan kepada pelarian di kem Addwa al-Raudah, sembilan di kem Suror Saadeen dan 213 pek di kem Kharbat Dawood.

“Pengagihan di tiga kem ini dibuat kerana Syria Care mendapat maklumat bahawa sejak beberapa bulan lalu, bantuan makanan daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada mereka sudah dihentikan dan hanya makan bagi mengalas perut.

“Jadi, kedatangan Syria Care pada hari ini (semalam) memang dinantikan mereka yang sudah beberapa bulan tidak mendapat keperluan makanan mencukupi,” katanya selepas menyerahkan bantuan di kem Kharbat Dawood, semalam.

Siti Sakinah berkata, pelarian di kem terbabit berbesar hati menerima pemberian pek makanan berkenaan kerana ia antara barangan amat diperlukan mereka.

Katanya, sejak bantuan makanan itu dihentikan, penghuni di tiga kem terbabit terpaksa mengambil upah dengan bekerja sebagai buruh kasar di kawasan itu.

“Bagi yang tidak berkeupayaan untuk bekerja kerana masalah kesihatan serta berstatus balu dan anak yatim, mereka hanya bergantung hidup dengan ihsan penduduk sekitar.

“Malah, bagi memenuhi keperluan mereka itu, kita menyerahkan pek makanan berdasarkan ruji makanan masyarakat Syria berikutan sebelum ini kita mendapat maklumat bahawa mereka ini tidak makan makanan dari negara asing kerana tidak biasa dengannya,” katanya.

Selain pek makanan, Syria Care turut menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak AS$2,240 (RM9,362) bagi membeli khemah untuk keperluan empat keluarga pelarian yang baru tiba di kem Kharbat Dawood, semalam.

“Wang tunai itu juga hanya diberikan kepada keluarga yang betul-betul memerlukan bantuan seperti bagi membeli ubat-ubatan ahli keluarga yang sakit serta kepada balu dan anak yatim,” katanya.

Sementara itu, wakil Syria Care di Lubnan Abbushi berkata, penghuni di kem terbabit berbesar hati serta teruja apabila menerima bantuan berkenaan.

Katanya, kehadiran petugas misi itu memang dinantikan dan sumbangan diberikan biarpun kecil nilainya namun cukup bermakna.

“Ini kerana sejak beberapa bulan lalu, pelarian di tiga kem ini tidak mendapat keperluan makanan mencukupi.

“Jadi, apabila Syria Care datang menyerahkan pek makanan ini, penghuni kem pelarian ini gembira dan teruja,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 11:02am
d