utama

Demi Allah, tak guna wang penyimpan - Abdul Azeez [METROTV]

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

BEKAS Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, hari ini menafikan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 menyalah guna wang pendeposit.

Daripada RM22 juta digunakan bagi program YTH 2017, beliau berkata, hanya RM7 juta adalah wang TH manakala bakinya hasil sumbangan Kerajaan Persekutuan, UMNO dan bayaran zakat beberapa syarikat korporat.

“Saya ingin tegaskan program YTH 2017 terutama program Ziarah Kasih pada Ramadan untuk membantu golongan asnaf tidak menggunakan duit penyimpan atau pendeposit TH.

“Program berkenaan memberi bantuan kepada golongan memerlukan seperti warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal serta warga miskin di lebih 60 Parlimen seluruh negara.

“Demi Allah, duit yang digunakan bukan daripada duit penyimpan dan tuduhan dilemparkan dianggap berniat jahat untuk mengaibkan saya serta TH,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, turut kesal apabila TH tidak menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam menyiasat kes itu dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media.

Beliau mendakwa tidak pernah dipanggil TH untuk mendapatkan kenyataan atau melakukan siasatan dalaman terlebih dahulu.

Sehubungan itu, Abdul Azeez menyuarakan kehairanan mengapa TH tidak mengikut SOP biasa, termasuk membuat siasatan dalaman dengan memanggilnya untuk memberi keterangan.

“Saya boleh memberi penjelasan lanjut kerana semua wang diterima atau digunakan ada rekod butirannya.

“Soalnya mengapa sekarang baru nak membuat laporan polis? Saya minta masyarakat jangan cepat menghukum dan tunggu sehingga selesai siasatan.

“Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan yakin mereka akan menjalankan siasatan dengan telus serta amanah,” katanya.

Jumaat lalu, TH membuat dua laporan polis terhadap Abdul Azeez, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta pengurusan kanannya.

Pengurusan kanan terbabit ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan polis pertama dibuat berkaitan Program YTH 2017 apabila dana sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.

Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina berhubung salah nyata dan didakwa menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 1:46pm
d