utama

Chan dedah kisah silam hitam

Oleh Michelle Gun

Mengejutkan apabila pelakon tersohor Hong Kong, Jackie Chan mengakui pernah melanggan pelacur, berjudi dan kerap memandu dalam keadaan mabuk.

Pendedahan kisah silam hitam itu diceritakan Chan, 64, dalam buku auto biografi dirinya yang mula dijual hari ini. Menurut portal South China Morning Post, pemenang anugerah Oscar itu mendedahkan memandu kereta mewah Porsche dan Mercedes sehingga terbabit dalam kemalangan akibat mabuk pada hari sama.

Jackie yang juga bintang seni mempertahankan diri turut mengakui bukan seorang bapa baik kerana pernah membaling anak lelakinya, Jaycee yang ketika itu masih kecil

Insiden itu berlaku ketika Jackie bergaduh dengan isterinya, Joan Lin Feng Jiao dan anak mereka bernasib baik kerana terjatuh atas sofa.

Antara kisah hitam dikongsi Chan kepada orang ramai, dia juga banyak membazir pendapatannya sewaktu menjadi pelakon aksi lasak di Hong Kong.

Autobiografi Chan dilancarkan beberapa hari selepas anak perempuannya, Etta Ng Chok Lam, 19, mengumumkan perkahwinannya dengan selebriti Internet, Andi Autumn.

Bagaimanapun, menurut South China Morning Post, buku itu tidak menyentuh langsung mengenai Ng.

Sebelum ini, Chan dikatakan tidak pernah mengakui Ng sebagai anaknya, hasil hubungan sulit dengan ratu cantik Elaine Wu.

Namun, bintang Rush Hour itu ada mengakui mengkhianati isterinya dan pernah bercinta dengan Wu.

Chan mengakui sikap buruk dan tidak bertanggungjawab itu disebabkan rasa kurang keyakinan diri serta tidak matang.

Pada usia kecil, Chan dihantar ke sekolah berasrama dan dipaksa belajar seni mempertahankan diri.

Selepas namanya mula menjadi sebutan ramai, Chan menghabiskan wang dengan membeli arak, berjudi, melanggan pelacur dan beberapa barangan lain.

Menurut Chan, dia berbuat demikian bagi menunjuk-nunjuk kepada individu yang pernah memandang rendah terhadapnya.

“Saya membawa jumlah wang banyak sepanjang masa. Selepas hidup miskin berakhir, wang memberi perasaan jaminan.

“Saya suka dikelilingi ramai orang dan menikmati jamuan bersama rakan,” katanya kepada Daily Mail.

Katanya, kira-kira 10 tahun lalu, dia membelanjakan sebanyak AS$2 juta setahun hanya untuk membayar makanan orang lain.

“Saya juga memberi hadiah mewah, jam tangan, jaket kulit rekaan khas dan wain mahal,” katanya.

Ini kali pertama Chan menceritakan kisah peribadinya secara terperinci dan keberaniannya mendapat pujian netizen.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 5:30am
d