utama

Siti kekal tak bertanding

Oleh Sudirman Mohd Tahir

LAGU Anta Permana yang dianggap single 'comeback' Datuk Seri Siti Nurhaliza ternyata membuahkan hasil.

Lagu berentak moden klasik hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu berjaya mengembalikan nama Siti di persada dunia nyanyian selepas berehat selama setahun sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadapnya.Dalam pada sambutan diberikan dan keghairahan peminat terhadap lagu itu, besar harapan mereka untuk menyaksikan Siti kembali bertanding di pentas Muzik Muzik 34 tahun depan dan seterusnya ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

Bagaimanapun, Siti yang tiga kali memenangi Juara Lagu menerusi lagu Jerat Percintaan, Cindai dan Balqis kekal dengan keputusan sebelum ini yang dia tidak mahu lagi bertanding.

Namun, Siti menamakan Ernie Zakri sebagai penyanyi yang dirasakan sesuai dan layak menyampaikan lagu itu.

“Apabila lagu ini tular, Hael dan Ezra bertanya macam mana kalau nak calonkan lagu ini. bagi saya Muzik Muzik dan AJL adalah pertandingan lagu, jadi terpulang pada mereka selaku komposer. Kalau nak bertanding, masuklah tetapi kalau nak saya menyanyi, tidak.

“Mungkin Hael boleh pilih penyanyi lain yang dirasakan sesuai dan layak untuk menyanyikan lagu ini. Nak saya masuk pertandingan, tidak lagi. Saya sudah pernah menang pun.

“Secara peribadi, semua penyanyi yang menyanyikan lagu ini menerusi #antapermanachallenge bagus. Tetapi, apabila melihat kemampuan Ernie, saya sukakannya. Dia bukan saja boleh menyanyikan lagu balada dengan bagus, tetapi juga lagu tradisional. Dari dulu lagi saya memang suka vokal Ernie,” katanya.

Menurut Siti, jika dia diberi pilihan untuk mengundi siapa penyanyi yang paling sesuai, dia memilih Ernie.

“Ernie menyanyi secara konsisten dan penghayatannya sangat baik. Peminat boleh undi nak siapa. Kalau saya, saya akan undi Ernie.

“Bagaimanapun, terpulang kepada Hael nak pilih siapa. Saya tetap akan berikan sokongan kepada siapa saja yang menyanyikan lagu itu,” katanya.

Konsert tiga negara

Khabar gembira buat peminat Siti apabila figura kesayangan ramai ini bakal mengadakan konsert mega di tiga negara iaitu Kuala Lumpur, Jakarta (Indonesia) dan Singapura yang dijangka pada Februari tahun depan.

Kali terakhir Siti menjayakan persembahan berskala besar menerusi Konsert Dato’ Siti Nurhaliza & Friends pada 2016.

“Konsert 2016 itu saya anggap besar dan gah. Jadi, saya nak ulang semula momen itu di tiga negara. Insya-Allah, ia bakal berlangsung tahun depan. Cuma, saya tak boleh berkongsi lanjut lagi.

“Saya akan mengadakan sidang media khas mengenai konsert ini pada 17 Disember ini. Pada waktu itu, saya akan bercerita mengenai konsep, lagu dan apa saja yang berkaitan,” katanya.

Siti berkata, bukan sesuatu yang mudah untuknya kembali menjayakan konsert apatah lagi selepas setahun berehat daripada menyanyi.

“Saya sudah lama berehat iaitu ketika mengandung dan bersalin. Jadi, nak dapatkan semula momentum bukan mudah. Nak menyanyikan lagu lama bernada tinggi memerlukan stamina yang cukup. Sebab itu, sekarang saya sudah mula bersenam semula.

“Diakui selepas bersalin suara sedikit ‘berkarat’. Saya kena banyakkan latihan untuk ‘kilatkan’ semula suara. Insya-Allah boleh dan saya cuba buat yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan menambah zuriat, Siti berkata belum tiba waktu sesuai.

“Memang ada perancangan nak tambah anak, tapi tunggu selepas konsert dulu. Insya-Allah kalau ada rezeki, saya dan suami tidak menolak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti baru melancarkan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) SimplySiti Di Hati 2018 dengan kerjasama Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).

Kempen berkonsep membeli sambil menderma itu adalah bagi mengumpul dana untuk membantu tiga kanak-kanak pesakit jantung iaitu Lam Zhe Yi, 10 bulan, Muhammad Firas Adib Mohamad Zaki, 4, dan T Mahaani, 7, dengan kos pembedahan yang dianggarkan RM105,000.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 6:00am
d