utama

Coretan indah dari istana

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, semalam, berkongsi nukilan penghargaan terhadap empat lelaki India yang banyak membantu keluarga Diraja Johor.

Raja Zarith menulis menerusi akaun Facebook (FB) Zarith Sofiah Idris dan menamakan empat individu yang banyak membantu keluarga baginda.

Coretan pendek itu menunjukkan bagaimana baginda sekeluarga menghargai perkhidmatan, persahabatan dan kesetiaan mereka.

Antara detik dikongsikan ketika Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Jalil Sultan Ibrahim mangkat, tiga tahun lalu

“Tiga tahun lalu, pada 5 Disember, anakanda saya, Jalil, mangkat. Kami amat sedih dengan kehilangan anakanda yang dikasihi.

“Tahun ini, kami masih berdukacita ditambah pula dengan kesedihan kerana berlaku sikap tidak bertolak ansur dan salah faham antara kaum,” katanya.

Baginda bertitah, rusuhan di tapak kuil India di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini, sehingga mengakibatkan kecederaan parah ahli bomba Melayu dan ketegangan kaum yang meletus selepas itu mengakibatkan baginda terfikir mengenai rakan kenalan dan kakitangan bangsa India yang sering berada dalam kehidupan baginda sekeluarga.

“Saya teringat Datuk Subramanyam Balan dan Datuk Singaraveloo, doktor yang merawat keluarga kami.

“Mereka sebahagian daripada pasukan perubatan yang membantu menjaga Jalil ketika menjalani rawatan kanser,” kata baginda.

Raja Zarith Sofiah bertitah, selain itu selama bertahun-tahun apabila suami atau anak sakit pada pertengahan malam, seorang daripada dua doktor berkenaan akan datang merawat.

“Mereka tidak kira kekerapan atau waktu, sama ada sebelum tengah malam atau 3 pagi, mereka tetap mengunjungi kami.

“Apabila Jalil menghidap kanser hati. Kami dan Jalil amat selesa dengan penjagaan kedua-dua doktor ini kerana menjadi kelaziman mereka merawat sejak Jalil kecil,” kata baginda.

Raja Zarith Sofiah bertitah, wajah individu berkenaan sangat mesra dan dipercayai baginda dan Jalil untuk menjaganya ketika sakit.

“Apabila Jalil menghembus nafas terakhir, Datuk Balan yang melihat waktu dan mengesahkan masa kemangkatannya.

“Seorang lagi ialah Mohan. Apabila anak sulung kami, Tunku Mahkota Johor, hanya berusia satu tahun, Mohan yang menjaganya ketika suami saya bersukan luncur air di Stulang Laut. Malah, Mohan ajar semua anak saya berenang,” titah baginda.

Baginda bertitah, Mohan menjaga mereka dan sanggup berada di dalam air selama berjam-jam.

“Mohan jurulatih berenang, teman bermain dan ‘pengasuh’ mereka,” titah baginda.

Baginda bertitah, Datuk R Sugumaran yang bertugas sebagai aide-de-camp (ADC) menunjukkan kasih sayang dan kesetiaan kepada suaminya.

“Beliau sentiasa jujur dan ikhlas, walaupun ada masa dimarah suami saya (yang sering terjadi!)

“Apabila saya bercuti di England pada 2009, Datuk Sugumaran menjadi sahabat anak bongsu dan membantu memilih epal dari pokok serta memberi makan itik di taman,” titah baginda.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 7:52am
d