utama

'Bertekak' sebab cendol

Oleh Siti Salmiah A Hamid

“CENDOL bukan berasal dari Singapura”. Itu komen segelintir netizen apabila portal CNN Travel memuat naik artikel bertajuk ‘50 of the world’s best desserts’ dengan menyenaraikan cendol paling sedap berasal dari Singapura.

Menurut CNN Travel, campuran kacang merah di dalam cendol membuatkan pencuci mulut dari Singapura itu berasa lebih enak dan klasik.

Chef selebriti popular, Johari Edrus, 62, atau lebih dikenali sebagai Chef Jo berkata, Singapura sentiasa mengambil peluang untuk memperkenalkan makanan warisan di negaranya kepada dunia.

Beliau berkata, Singapura antara negara asing yang berusaha menjadikan makanan tradisional sebagai ‘signature’ negara berkenaan.

“Mereka melihat kepentingan warisan itu sebagai suatu perniagaan yang bukan saja mampu menarik kedatangan pelancong malah sebagai rujukan generasi masa depan.

“Sekiranya mereka daftarkan cendol di UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), automatik cendol menjadi ‘trademark’ negara itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan perlu bertindak segera mengisytiharkan makanan warisan negara seperti cendol, ketupat palas, nasi lemak, ABC dan roti canai bagi mengelakkan pertikaian antara negara lain.

“Ibarat kita menang sorak kampung tergadai, negara lain pula yang dakwa makanan warisan milik mereka.

“Kementerian perlu segera mengambil tindakan dengan membawa senarai makanan tradisional negara ke UNESCO.

“Langkah itu sudah pasti mendapat reaksi positif chef di negara ini untuk memperkenalkan makanan warisan di mata dunia seterusnya sebagai tatapan generasi muda,” katanya.

CNN Travel menyenaraikan 50 pencuci mulut terbaik dunia dengan mengatakan makanan tempatan, cendol dihidang sejuk dengan campuran santan, gula Melaka, jeli tepung beras hijau dan kacang merah.

Katanya, versi pencuci mulut ini boleh ditemui di seluruh Asia Tenggara, tetapi dengan menambah kacang merah membuatkan makanan klasik Singapura ini sangat menyelerakan.

Selain cendol, beberapa pencuci mulut lain seperti alfajores dari South America, baklava (Turki), kek black forest (Jerman), gulab jamun (India) dan tub tim krob (Thailand) turut disenaraikan.

Walaupun asal-usul cendol tidak dapat disahkan, terdapat laporan ia berasal dari Malaysia atau Indonesia.

Portal iFood mengatakan, perkataan ‘cendol’ muncul untuk kali pertama dalam istilah Melayu yang diterbitkan pada tahun 1932.

Nurzailina Nordin, 56, atau Chef Lin pula berpendapat CNN Travel tidak membuat kajian secara menyeluruh mengenai senarai makanan berkenaan.

Katanya, lebih ramai penjual cendol India Muslim di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur berbanding di Singapura kerana makanan itu popular dalam kalangan masyarakat berkenaan.

“Mungkin CNN Travel mengambil pendekatan mudah kerana masyarakat Cina banyak menggunakan kacang merah dalam masakan.

“Justeru, mereka terus membuat anggapan cendol lebih popular dan sedap di Singapura kerana kacang merah,” katanya.

Netizens di Twitter turut tidak berpuas hati malah meminta CNN Travel mengubah asal-usul cendol itu kepada Malaysia.

Menurut pengguna Twitter @dyeanadia11, CNN tidak pernah merasai cendol yang terbaik di Malaysia

@MaximusLim1387 pula berkata, cendol bukan berasal dari Singapura.

Manakala pemilik akaun @mdamiruzri berkata, “Don’t mess with Malaysia food. Cendol is from Malaysia not Singapore. Ask Singaporean where they get the gula melaka (palm sugar), the main ingredients of cendol”.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 5:51pm
d