utama

[UPDATE] 3 maut letupan di CityOne MegaMall

Oleh BERNAMA

TIGA lelaki maut dalam insiden runtuhan bangunan di pusat beli belah CityOne Megamall, di Jalan Song, Kuching, yang berpunca daripada letupan gas, hari ini.

Mangsa tersebut adalah di antara 18 orang yang cedera dalam kejadian itu berlaku 3.30 petang tadi.

Pengarah Operasi Bomba dan dan Penyelamat, Tiong Ling Hii berkata, dua daripada mangsa cedera itu masih terperangkap di dalam runtuhan bangunan.

“Kesemua mangsa lain yang cedera dikejarkan ke hospital umum untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, runtuhan bangunan itu berpunca daripada letupan gas dipercayai dari kedai makan di pusat beli belah itu.

Saksi kejadian, George Sting, 39, berkata, letupan itu berlaku di dalam kedai yang sedang diubah suai.

“Ketika kejadian saya sedang membeli pizza di hadapan kedai itu, secara tiba-tiba satu letupan kuat berlaku.

“Pekerja yang berada di dalam kedai tersebut kemudian lari bertempiaran, ada di antara mereka yang cedera teruk akibat melecur,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Grace Lee, 23, pembantu jurujual di kedai telco berkata, sejurus selepas letupan pihak pengurusan terus membuat pengumuman kecemasan mengarahkan semua pengunjung keluar dari premis di dalam pusat beli belah itu.

Wina Simion, 46, berkata, ketika letupan dia nampak meja makan premis tersebut melambung ke siling.

“Ketika itu saya dan keluarga tengah makan, kami terkejut dengar bunyi letupan yang kuat, saya nampak ada meja melambung ke siling di depan mata,” katanya yang masih dalam keadaan terkejut.

Berita berkaitan:

  • Letupan gegarkan City One Kuching
  • Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 6:12pm
    d