utama

Ismail berani ambil risiko

Oleh Michelle Gun

JARANG sekali ada penyanyi tanah air berani mempertaruhkan dua lagu baru dalam jarak waktu dekat.

Bagi Ismail Izzani, pengenalan single Save Me dan Bidadari secara serentak sebagai eksperimen untuk melihat reaksi pendengar.

“Saya cuba kaedah ini kerana ingin tahu maklum balas pendengar mengenai dua lagu berkenaan yang mengetengahkan cerita tersendiri. Risiko memang ada tetapi saya perlu yakin sepenuhnya terhadap kedua-dua lagu ini,” katanya.

Penyanyi berusia 18 tahun ini mengakui perasaan gementar hadir setiap kali mengeluarkan single baru kerana bimbang gagal menambat hati pendengar.

“Alhamdulillah kedua-dua lagu itu mendapat sambutan baik terutama Bidadari yang dihasilkan khas untuk ibu saya,” katanya.

Menurut Ismail, Bidadari yang kini mempunyai lebih empat juta tontonan di YouTube sepatutnya dilancarkan tahun lalu pada sambutan ulang tahun kelahiran ibunya, Datin Suliza Salam.

“Bagaimanapun, perancangan itu tidak menjadi kerana saya terlalu sibuk dengan promosi lagu Demi Kita dan Luar Biasa.

“Walaupun Bidadari rancak dan moden, ibu tetap menyukainya kerana lirik bermakna. Lagu ini juga ditujukan untuk semua wanita,” katanya.

Walaupun kurang mempromosikan Save Me yang mengetengahkan mengenai pengampunan, lagu itu tetap mencuri perhatian pendengar.

Malah, ada peminat kumpulan K-Pop popular, BTS menegur single terbabit diberi judul sama dengan satu lagu kumpulan tersohor itu.

Menjawab isu ditimbulkan, anak muda berasal dari Ampang, Selangor ini menganggap persamaan terbabit secara kebetulan.

“Ada banyak lagu luar negara mempunyai judul sama tetapi oleh penyanyi lain. Saya turut diberitahu ada lagu Indonesia juga bertajuk Demi Kita,” jelasnya.

Lagu untuk ‘haters’

Dalam perkembangan lain, Ismail bakal bekerjasama dengan pelakon dan penyanyi Naim Daniel untuk menghasilkan single duet yang ditujukan khas buat ‘haters’ mereka.

“Kami masih berbincang mengenainya dan single itu akan dilancarkan tahun depan. Lagu itu bukannya sedih mahupun rancak dan konsepnya sangat berbeza dari muzik diketengahkan sya serta Naim sebelum ini.

“Bagaimanapun, ia adalah kejutan buat golongan yang tidak menggemari kami,” katanya yang juga bakal melancarkan album sulungnya tahun depan.

Hampir dua tahun menceburi bidang seni, Ismail menerima banyak kecaman netizen dengan ada segelintir menganggap pencapaiannya disebabkan ibunya penyanyi terkenal 1980-an.

“Macam-macam komen negatif dilemparkan daripada netizen dan ada sebahagian daripadanya memang terlampau.

“Masing-masing mahu mencari kesalahan saya dan Naim. Perkara kecil pun dibesarkan mereka. Bagaimanapun, kami masih mampu berdepan dengan kecaman netizen,” katanya.

Menurut Ismail, ibunya menceritakan kepadanya pengalaman pernah menjadi mangsa khabar angin ‘haters’ sewaktu aktif menyanyi dulu.

“Kalau sekarang, artis boleh membaca dan tahu gosip kurang enak mengenai dirinya di media sosial. Dulu tiada media sosial tetapi ada saja fitnah mengenai ibu dicipta pihak tidak bertanggungjawab dan menyebarkannya kepada orang di kawasan lain.

“Sebagai orang yang pernah melalui pengalaman itu, ibu menasihati supaya banyak bersabar, tambahan pula saya yang memilih jalan untuk menjadi artis yang semestinya setiap pergerakan sentiasa menjadi perhatian ramai,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 6:01am
d