utama

Memang hebat!

Oleh Redzuan Muharam

SELAYANG: “Walaupun tidak dapat hadiah, saya puas kerana menang dalam pertandingan itu dan ia menunjukkan hasil kerja tukang gunting rambut dari Malaysia diterima baik masyarakat luar,” kata Zulfa Kamaruzzaman, 35, yang tiga kali memenangi pertandingan kreativiti gunting rambut anjuran Kelab Gunting Rambut United Kingdom (UK) di Facebook.

Pertandingan itu diadakan setiap minggu dan peserta perlu memuat naik maksimum tiga gambar potongan rambut yang dihasilkan.

Gambar yang mendapat ‘like’ terbanyak secara automatik bergelar pemenang bagi pertandingan berkenaan yang disertai 100 peserta dari Eropah dan Asia.

Menurut Zulfa, dia menyertai pertandingan itu kerana melihatnya sebagai platform terbaik untuk bersaing secara sihat dengan tukang gunting rambut dari negara Eropah.

Katanya, penyertaan dalam pertandingan itu juga membolehkan dia berkongsi hasil kerja seterusnya mendapat maklum balas daripada pengikut kumpulan berkenaan dari pelbagai negara.

“Saya berpengalaman lebih 20 tahun sebagai tukang gunting rambut dan pernah bekerja di UK sejak 2015.

“Selepas lima bulan di sana, saya pulang ke Malaysia sebelum kembali bekerja di UK jika mendapat tawaran dan ia menjadi rutin saya sehingga kini.

“Namun pengalaman itu tidak bermakna saya berada di zon selesa kerana sebagai tukang gunting, saya amat memerlukan maklum balas daripada orang lain untuk memperbaiki diri.

“Saya rasa pertandingan ini platform terbaik menguji kemampuan diri. Alhamdulillah, percubaan saya berhasil apabila tiga kali terpilih sebagai pemenang mingguan.

“Malah pertandingan ini menjadikan saya lebih kreatif dan bersemangat mencari idea dalam menghasilkan teknik potongan rambut terkini,” katanya.

Menurutnya, selain pertandingan itu, dia giat membantu tukang gunting rambut tempatan mengasah kemahiran mereka berbekalkan pengalaman ditimba sepanjang bekerja di UK.

Katanya, antara inisiatifnya termasuk mengambil anak muda sebagai pekerja di kedai gunting rambut miliknya serta mengadakan siri jelajah Barber Jam di beberapa lokasi dalam negara.

“Niat saya menggajikan mereka untuk memberi peluang pekerjaan serta berkongsi ilmu.

“Mereka adalah pelapis, jadi dengan menurunkan kemahiran ini, ilmu saya tidak disia-siakan.

“Pada masa sama, saya anjurkan juga Barber Jam sejak akhir tahun lalu sebagai ruang perkongsian teknik khusus untuk tukang gunting rambut tempatan.

“Pada awalnya hanya ada 20 peserta dan kini meningkat sehingga 70 orang . Ia diteruskan di Melaka pada 12 Disember ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 8:01am
d