utama

Hendak seribu daya

Oleh Mary Victoria Dass

JOHOR BAHRU: Lumpuh anggota badan tidak mematahkan semangat seorang pemuda untuk terus berusaha menjana pendapatan dengan berniaga dalam talian demi meringankan beban ibu bapanya.

Anak sulung daripada tiga beradik, Mohd Shamsul Azwa, 23, berkata tubuhnya dari paras pinggang ke bawah lumpuh selepas terbabit kemalangan jalan raya ketika berusia 17 tahun.

Mengenang kembali kejadian perit itu, dia berkata, kejadian berlaku sebulan sebelum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga dia tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan atau menamatkan persekolahan seperti pelajar lain.

Katanya, lebih malang, dia yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya 3 dekat sini, lumpuh separuh badan hingga tidak mampu menjalani kehidupan normal.

“Hanya Allah SWT saja tahu bagaimana perasaan saya dan ahli keluarga ketika itu terutama ibu yang bimbang memikirkan masa depan saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, dunianya berubah malah perlu berulang-alik ke hospital menjalani rawatan serta pemulihan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sekali atau dua kali sebulan.

“Namun ia membentuk semula keyakinan dan semangat saya untuk menerima suratan takdir dan kenyataan hidup secara berperingkat.

“Saya bergerak dengan bantuan ahli keluarga termasuk mampu menggunakan kerusi roda.

“Alhamdulillah adik saya juga memahami keadaan saya serta membantu ibu bapa dalam aspek penjagaan harian saya,” katanya.

Dia berkata, ibunya Nor Tipah Mohd Sazali, 51, banyak berkorban demi dirinya dan keluarga.

Menurutnya, cadangannya untuk mewujudkan akaun dalam media sosial Facebook (FB) bagi mengetahui dunia luar serta pendedahan juga tidak dihalang ibunya.

Malah katanya, ahli keluarganya menghadiahkan telefon pintar bagi kegunaannya.

“Saya bersyukur kerana berpeluang bertemu dengan wanita kurang upaya yang mengusahakan perniagaan menjual perabot buatan suaminya.

“Dia mempelawa saya untuk mempromosikan barangan berkenaan serta menjual dan menawarkan sejumlah komisen.

“Memandangkan saya akaun FB, saya menggunakannya sebagai tempat memperkenalkan produk terutama dalam kalangan kenalan saya tanpa sebarang kos,” katanya.

Mohd Shamsul berkata, jika mahu menghantar barangan kepada pelanggan, ibu serta adik bongsunya Mohd Syafiq Daniel, 16, membantu menguruskannya.

Menurutnya, sehingga kini dia berjaya menjual puluhan unit perabot serta bersyukur atas sambutan baik orang ramai dan rezeki diperoleh.

“Saya memang minat berniaga dan sedar berniaga juga adalah satu ibadah jika diusahakan dengan niat untuk mendapat rezeki halal bagi menyara hidup.

“Antara barangan yang saya jual ialah rak sudut kerawang, rak dulang, kotak kunci dan congkak.

“Harga berbeza mengikut jenis dan saiznya,” katanya.

Katanya, wang komisen diperoleh tidak tetap kerana bergantung kepada jualan dan ia diserahkan kepada ibunya untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Buat masa ini kami sekeluarga tiada punca pendapatan melainkan bantuan pesakit terlantar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan selain pencen ilat bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) diterima bapa, Azwa Ayah, 53, RM1,000.

“Bapa adalah bekas operator kilang dan kini dia tidak mampu bekerja kerana diserang strok beberapa bulan lalu,” katanya.

Katanya, dia memasang impian untuk menjadi ahli perniagaan berjaya dan cemerlang pada masa depan.

“Niat saya adalah untuk membantu keluarga, semoga keadaan kesihatan saya bertambah baik supaya saya dapat menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Nor Tipah berkata, dia sanggup mengharungi cabaran demi meningkatkan semangat Mohd Shamsul supaya berdikari untuk menjana pendapatan.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 7:37am
d