utama

Istiqamah demi agama

Oleh Mohamad Hussin

KUALA LUMPUR: “Kami membuat keputusan menghantar semua anak ke sekolah pondok kerana mahu mereka pandai membaca al-Quran dan mendalami ilmu agama.

“Walaupun mendapat tentangan keluarga, namun kami nekad dan berazam mudah-mudahan Allah SWT membuka pintu rezeki mereka untuk berjaya suatu hari nanti,” kata Salmah Hassim, 65.

Beliau berkata, pengalaman sebagai guru banyak membantunya dan suami, Mohd Nason Mohd Nor, 67, juga pesara guru dalam mendidik anak kerana tidak mahu mereka terjebak dalam kancah maksiat dan lalai.

“Selepas berbincang dengan suami, saya kata kita kena lakukan perubahan menghantar anak ke sekolah pondok. Idea tercetus selepas saya lihat kebanyakan murid sekolah selepas tamat darjah enam tidak pandai membaca al-Quran apatah lagi kalau mereka meningkat dewasa.

“Pada awalnya, keluarga banyak merungut kenapa hantar anak ke sekolah pondok kerana ia membabitkan banyak kos dan masa berbanding menghantar ke sekolah kebangsaan.

“Insya-Allah, duit kita boleh cari, tetapi ilmu agama lagi penting. Setiap kali selepas solat saya berdoa supaya semua anak saya berjaya dalam ilmu agama,” katanya.

Salmah berkata, selepas menghantar anak sulung mereka, Amir ke sekolah pondok seawal usia tujuh tahun, mereka berazam untuk menghantar semua anak ke sekolah sama.

“Kami bersetuju menghantar semua anak ke sekolah pondok selepas melihat Amir mula menunjukkan perubahan selain tidak mahu apabila besar nanti mereka membanding-bandingkan antara satu sama lain.

“Biar sama rata dan adil... semua kena ikut sekolah pondok walaupun terpaksa berkorban masa dan wang ringgit menghantar mereka ke sekolah pondok namun ia bukan alasan untuk kita mengabaikan tanggungjawab memberi mereka ilmu agama.

“Ada juga masyarakat yang mencemuh kami kenapa menghantar anak ke sekolah pondok walhal kami adalah guru di sekolah biasa. Namun, sebagai insan biasa kita ni tidak pandai dan jahil agama, sebab itu saya hantar anak ke sekolah pondok,” katanya.

Menurutnya, walaupun ketujuh-tujuh anak bersekolah di Maahad, dia tetap meminta semua anaknya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian.

“Apabila mereka sudah besar jadikan mereka sebagai kawan. Walaupun ada masa kita kena tegas dalam bab menjaga solat kerana ia amat penting dalam kehidupan seharian dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

“Insya-Allah, mereka tak takut nak bersembang dengan kita sambil bergurau dan pada masa sama depa hormat kita sebagai ibu serta ayah mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nason berkata, didikan yang diberikan sejak kecil termasuk menjaga aurat walaupun ketika itu mereka baru berusia tujuh tahun.

“Kami hanya menjalankan tanggungjawab yang selebihnya biar Allah SWT yang uruskan. Selain didikan ibu bapa, mereka sendiri yang tahu dalam melakukan amal ibadat termasuk solat dan puasa.

“Selain itu, sumber makanan juga biarlah dari punca rezeki yang halal kerana ia akan menjadi darah daging. Rezeki yang halal akan membuatkan hati kita jadi lebih terang dan berkat.

Beramal sambil berdakwah

“Sumber yang haram akan menyebabkan hati kita jadi titik hitam dan pada masa yang sama susah nak dapat ilmu,” katanya.

Niat mereka adalah sama beramal sambil berdakwah. Itu kehebatan tujuh beradik yang mendalami ilmu agama sejak kecil dalam bidang pengajian Islam hingga berjaya menggenggam ijazah di luar negara.

Mereka adalah Ustaz Amir Mohd Nason, 39, Ustaz Azli, 38, Ustaz Amri, 36, Ustaz Aswad, 34, Ustazah Siti Hajar, 30, Ustaz Muhammad Ariff, 27, dan Muhammad Amin, 24.

Ustaz Amir yang juga abang sulung berkata, sejak kecil dia dan adik-beradiknya diterapkan ilmu agama oleh ayah, Mohd Nason Mohd Nor, 67, serta ibu, Salmah Hassim, 65.

“Ayah adalah pesara Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kalai, Jeniang manakala mak pesara guru di SK Tembak, Kuala Ketil, Kedah.

“Sejak kecil kami tujuh beradik dihantar ke Maahad Tarbiyah Islamiah, Derang, Pokok Sena. Selepas tamat pengajian di maahad berkenaan, kami menyambung pengajian di luar negara dalam bidang masing-masing,” katanya.

“Kami bersyukur kerana ayah dan mak memilih maahad yang betul-betul mencapai matlamatnya selain menerapkan pendidikan Islam dalam pengajian. Ia penting kerana didikan sejak kecil itu membolehkan seseorang itu berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.

“Apabila kita mendapat guru yang baik dan ikhlas mengajar, Insya-Allah, ilmu yang kita pelajari akan berkat,” katanya.

Mereka kini mengumpul dana bagi melengkapkan lagi Maahad Al Iman Li Ulumil Quran di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil.

Idea menubuhkan maahad berkenaan tercetus selepas pemilik tanah di kawasan itu menemui mereka bagi mewakafkan tanah untuk maahad.

Katanya, bagi merealisaikan hasrat itu, mereka lima beradik iaitu Amir, Azli, Amri, Aswad dan Muhammad Ariff kini aktif menjadi pendakwah bebas demi mengumpul dana.

“Adik perempuan tunggal kami, Siti Hajar bekerja sebagai guru al-Quran di pusat pengajiannya sendiri iaitu Ulin Nuha Academy dan sering menerima jemputan ceramah di sekitar negeri ini manakala Muhammad Amin bertugas sebagai guru di Maahad Al Iman Li Ulumil Quran.

“Kami memerlukan RM700,000 bagi membina masjid yang boleh menampung 1,500 jemaah pada satu-satu masa,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank 5521 8951 5745 atas nama Maahad Al Iman Li Ulumil Quran.

Disiarkan pada: December 7, 2018 @ 11:01am
d