utama

Erul gigih cari peluang

Oleh Norhayati Nordin

Percaya diri masih relevan dalam industri seni, Erul Samah tidak gentar bersaing dan gigih mencari peluang.

Buktinya, selain menyanyi, Erul, 27, juga aktif menceburi bidang lakonan, peragaan, jurulatih kecergasan serta menjadi guru vokal.

Menurut Erul, dia suka menimba ilmu dan bagi kemunculan terbaru sudah pasti persediaan mantap dilakukan agar dapat menambat hati pendengar.

“Sekarang saya muncul dengan single berjudul Teristimewa ciptaan sepenuhnya komposer Awad. Single ini sangat bermakna buat saya.

“Terus terang single Teristimewa membawa maksud mendalam kepada saya betapa perlunya menghargai insan tersayang selagi mereka hidup,” katanya.

Erul atau nama sebenarnya, Hairul Najmuddim Abu Samah berkata, dia juga baru kehilangan nenek tersayang, Sakemah Ahmad, 73, yang meninggal dunia beberapa hari lalu.

“Sepanjang nenek sakit dan dirawat di hospital, saya bersama ibu, Noorherwanie A Wahid, 55, yang menjaganya. Jadi, kehilangan Allahyarham sangat dirasai. Apatah lagi kami rapat.

“Bagi saya, selagi nyawa dikandung badan hargailah insan tersayang dan single Teristimewa ini diakui liriknya agak menyentuh perasaan,” katanya.

Apa yang pasti, perjalanan Erul dalam membina nama dan menjual bakat seninya agak berliku. Ini kerana, kembara itu sudah dilakukannya sejak 2009.

Ketika itu, Erul berganding secara duo dengan penyanyi Hael Husaini membentuk kumpulan Evo dan mereka berentap dalam Mentor 3 di TV3 di bawah bimbingan Jaclyn Victor.

Selepas persaingan Mentor 3 berakhir, Erul mencuba nasib dengan menyertai program Akademi Fantasia 9 (AF9) pula dan dia muncul dengan imej seperti bintang K-Pop.

Mengakui pengalaman banyak mengajarnya berhadapan cabaran kehidupan, Erul memberitahu dia juga tidak pernah menyepi daripada karier seni selama ini.

“Walaupun kisah saya tidak banyak disiarkan media tetapi rezeki tetap ada. Setakat ini, tidak pernah putus dan saya amat bersyukur.

“Malah, minat pada muzik K-Pop berjaya membawa saya memenangi pertandingan K-Pop Star Hunt musim kedua sebagai juara pada 2014,” katanya.

Selesa tampil dengan fesyen dan imej K-Pop, Erul berkata untuk single Teristimewa itu dia memilih genre muzik pop moden. Ini kerana ia sesuai dengan vokal.

Semakin rancak mengatur strategi promosi single Teristimewa, Erul berkata dia teruja apabila single berkenaan turut dipilih menjadi lagu tema sebuah drama di TV3.

“Apa judul drama itu dan bila akan ditayangkan, biarlah saya rahsiakan kerana menghormati pihak produksi dan stesen TV.

Terima kasih memilih lagu saya.

“Inilah rezeki namanya dan saya anggap ia permulaan yang baik. Terus-terang, saya tidak akan pernah jemu berusaha selagi termampu dan melihat masih ada peluang,” katanya.

Erul juga melihat persaingan sesuatu yang positif kerana ia membantunya bekerja lebih keras untuk menggapai impian.

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 5:30am
d