utama

Kena bayar dulu

Oleh Agensi

BEIJING: Sebuah hospital di China akan membayar pampasan kepada seorang pesakit yang diarahkan turun ketika sedang dibedah untuk membayar 15,300 yuan (RM9,300) sebelum pembedahannya diselesaikan.

Hospital Modern Men di Lanzhou, wilayah Gansu, bersetuju membayar pampasan 41,450 yuan (RM25,000) selepas pesakit berkenaan dipaksa berjalan dari bilik bedah dalam keadaan dibius setempat untuk membayar kos pembedahan atas arahan pakar bedahnya.

Pesakit yang cuma dikenali sebagai Yao, yang datang melancong dari Yunnan, mendapat nasihat pakar di hospital berkenaan pada 25 Oktober lalu sebelum membayar 538 yuan (RM324) kepada doktor untuk rawatannya, lapor portal berita Thepaper.cn.

Bagaimanapun, pakar yang tidak didedahkan identitinya itu menghentikan pembedahan separuh jalan dan mendesak pesakit itu membayar baki 15,300 yuan malah enggan menghabiskan kerjanya jika dia enggan.

Doktor itu memberitahu Yao, kelenjar limfanya bengkak dan saraf yang terdedah perlu dibaiki untuk mengelak masalah lebih teruk pada masa akan datang.

Yao berkata, dia takut dan tidak melawan kerana masih mamai akibat dibius seterusnya bersetuju dengan desakan doktor itu. Susulan itu, lukanya dibalut dan dia dihantar ke kaunter pembayaran.

Pakar di beberapa hospital utama Lanzhou kemudian memberitahu Yao bahawa kos rawatan untuk pembedahannya sepatutnya hanya antara 1,000 hingga 2,000 yuan (RM600-RM1,200).

Yao memfailkan aduan dengan pihak berkuasa Lanzhou dan kedua-dua pihak mencapai persetujuan selepas Biro Kesihatan dan Perancangan Chengguan bertindak sebagai timbang tara.

Penipuan perubatan kerap berlaku di China, disebabkan hospital swasta tidak diselaraskan seterusnya sering mengenakan caj berlebihan untuk pesakit bagi rawatan ringan.

Satu lagi kes pakar bedah mengenakan caj berlebihan turut dilaporkan pada Isnin lalu di Hubei, apabila seorang pesakit dipaksa membayar 2,000 yuan tambahan ketika dibedah, lapor Chutian Metropolis Daily kelmarin.

Hospital Huanggang Mingshi di Huanggang didenda 3,000 yuan (RM1,800) oleh pihak berkuasa kerana penipuan dan paksaan berniat jahat.

Selain itu, kakitangan Hospital Ouya di Zunyi, wilayah Guizhou disiasat polis pada Julai lalu kerana disyaki menipu pesakit supaya menerima rawatan tambahan dengan kos yang jauh lebih tinggi.

Hospital itu disyaki mengiklankan pembedahan kos rendah untuk masalah kesihatan ringan di media sosial, namun kemudian mengenakan pesakit caj sehingga 10,000 yuan (RM6,000) untuk pelbagai prosedur tambahan.

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 8:31am
d