utama

Hobi jadi profesion

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

KUALA LUMPUR: Meskipun hanya bermula sebagai hobi mengumpul model kit robot Gundam ketika masih menuntut dalam jurusan pengurusan perniagaan di sebuah kolej di Sarawak namun kini ia menjadi satu profesion yang menguntungkan kepada Melvin Ngumbang.

Selain sebagai pengumpul, dia turut mengambil upah memasang model kit milik pengumpul lain.

Melvin, 35, yang berasal dari Kuching itu mula mengumpul Gundam pada 2009 dan sejak membeli model kit robot keterujaannya semakin bertambah dari hari ke hari.

“Ketika membeli Gundam itu buat pertama kali, saya begitu teruja membuka kotak dan membaca manual bagaimana ia boleh dipasang dengan cara berbeza dan ubahsuai yang boleh dilakukan kerana ia dicipta oleh golongan jurutera.

“Bermula daripada kotak pertama, saya mula mengumpul. Pada mulanya ketika masih belajar, saya beli ikut peruntukan wang yang ada tetapi kini bila sudah bekerja, saya akan membeli Gundam yang diminati saja,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, minatnya terhadap mainan itu bermula selepas melihat kepada aksi dan perincian terdapat pada setiap model kit robot yang boleh dipasang sendiri mengikuti kreativiti.

“Sehingga kini, koleksi Gundam saya sudah mencecah lebih 300 unit dan terdapat dalam pelbagai saiz, jenis serta warna berbeza yang menghiasi setiap sudut bilik tidur.

“Apa yang menariknya, ia perlu dipasang sendiri dan penggemarnya boleh menghabiskan masa berjam lamanya untuk melakukan modifikasi selain mewarnakan robot mengikut kreativiti masing-masing.

“Antara robot yang menjadi kegemaran saya adalah Gundam dalam skala 1/44 Real Grade yang berharga antara RM120 hingga RM150,” katanya.

Menurutnya, Gundam jenis itu memiliki pergerakan sendi yang fleksibel dan gimik yang agak banyak dengan pilihan senjata serta rangka tulang dalam selain perisai luaran yang lebih terperinci.

Ketika ditanya mengenai dirinya yang mengambil upah memasang model kit orang lain itu berkata, dia menghadiri beberapa kursus bagi membolehkan dirinya memasang model kit yang memerlukan kerja yang terperinci dan kreatif.

Melihat kepada lingkungan harga model kit Gundam, jelasnya hobi itu sesuai untuk mereka yang begitu mementingkan kualiti serta perincian robot biarpun harganya mahal, malah Melvin turut mengakui nilai koleksinya kini sudah mencecah puluhan ribu ringgit.

Katanya, dia tidak pernah meminta orang lain memasang koleksi miliknya malah tidak akan menjualnya sama sekali namun hanya mengambil upah dari mereka yang memerlukan khidmatnya.

Menurut Melvin, di Jepun, semua bahan model kit itu diperbuat daripada bahan terbuang harian misalnya plastik PVC atau besi yang digunakan dalam proses kitar semula supaya dapat menghasilkan Gundam.

Katanya, setiap Gundam dalam koleksinya disusun cantik dan cermat, malah ada yang masih elok berbungkus di dalam kotak.

“Semuanya disusun kemas di dalam bilik dan akan dibersihkan sekali-sekala apabila perlu.

“Tidak mudah memasang setiap model kit Gundam, ada yang mengambil masa panjang antara seminggu hingga sebulan bagi yang memiliki ukuran lebih terperinci dan mencabar.

“Saya akan terus mengumpul Gundam dan berhasrat mewariskannya kepada anak supaya minat ini dapat diteruskan,” katanya.

Harga robot Gundam berbeza mengikut gred klasifikasi model kit pasang siap iaitu bermula serendah RM20 hingga boleh mencecah RM2,000.

Pada masa sama, Melvin turut setia mengumpul Gundam dalam skala 1/100 Master Grade yang berharga antara RM180 hingga RM400 bagi setiap model kit.

Menurut Melvin, Gundam Master Grade menjadi pilihannya kerana pergerakan sendi yang sangat fleksibel, rangka tulang serta perisai luaran terperinci dan mempunyai pelbagai jenis gimik senjata.

Disiarkan pada: December 8, 2018 @ 8:32am
d