utama

Elak babak jatuh

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Selepas bersalin anak sulung Mei tahun lalu, pelakon Syatilla Melvin mengambil keputusan memberi tumpuan kepada anak dan suami, Shaheizy Sam.

Namun, selepas anaknya berusia 18 bulan, Syatilla, 27, atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin kembali ke lokasi penggambaran drama Selafaz Cinta yang kini ditayangkan di Astro Prima.

Bezanya, sepanjang penggambaran itu Syatilla atau mesra disapa Tilla sedang berbadan dua dengan usia kandungan tiga bulan.

Satu cabaran buat Tilla apabila dia perlu keluar rumah seawal jam 6.30 pagi sepanjang lebih dua bulan bagi menyiapkan naskhah 60 episod itu.

Pada masa sama, Tilla mengakui perlu lebih berhati-hati kerana sebelumnya mengalami keguguran pada Ogos lalu iaitu ketika kandungan berusia enam minggu.

“Saya dapat tahu hamil selepas menerima tawaran drama ini. Disebabkan tidak mahu menyusahkan produksi, saya teruskan juga. Tipu kalau kata tak risau apatah lagi ketika itu usia kandungan masih di peringkat awal.

“Malah, pengalaman mengalami keguguran sebelum ini sedikit sebanyak menambahkan kerisauan. Cuma, saya cekalkan hati dan sentiasa berfikiran positif. Paling penting saya kena sentiasa berhati-hati.

“Tiga minggu pertama penggambaran, saya makan ubat penguat rahim. Saya takut terjadi apa-apa terhadap kandungan jika terlalu aktif kerana masih fobia dengan keguguran sebelum ini. Semasa penggambaran apa saja kemungkinan boleh terjadi,” katanya.

Tilla yang melakonkan watak utama turut terbabit dalam babak yang memerlukannya jatuh pengsan dan mengalami kemalangan.

Bagi mengelakkan risiko, Tilla berkata, dia berbincang dengan pengarah untuk tidak menjayakan babak berkenaan.

“Pada awal penggambaran, saya okey saja dan tak penat. Apabila berada di pertengahan dan hingga ke hujung, baru rasa penat sangat sebab perut semakin membesar.

“Setiap hari pula memang banyak babak membabitkan saya. Setiap hari kena keluar rumah jam 6.30 pagi. Balik kerja pula penat. Selama lebih dua bulan saya buat perkara sama.

“Disebabkan tidak mahu perkara buruk berlaku, saya minta kelonggaran untuk tidak melakukan babak jatuh dan sebagainya. Saya mencadangkan mereka menggunakan teknik ‘camera trick’ supaya menampakkan seolah-olah sayalah yang melakonkan babak terbabit,” katanya.

Berkongsi mengenai drama itu, Tilla berkata, itu pengalaman pertama terbabit dalam drama bersiri panjang.

“Setiap hari kami ‘shoot’ satu episod dan tak jumpa malam pun. Hanya pada hari-hari terakhir saja baru balik lambat iaitu antara jam 8 atau 9 malam. Sebelumnya, waktu bekerja jam 7 pagi hingga 5 petang.

“Ia bukan membabitkan seorang, tetapi untuk semua pelakon. Lagipun, drama ini ada dua pasukan dan membabitkan dua kamera. Jadi penggambaran memang laju dan tak perlu ambil masa panjang,” katanya.

Selain Syatilla, drama itu turut dibintangi Saharul Ridzwan, Puteri Aishah, Sharifah Sakinah, Aqasha, Cha Cha Maembong, Sura Sojangi, Luqman Hafidz, Ikhwan dan Fezrul Khan.

Drama ini ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang di Astro Prima.

Berehat hingga bersalin

Satu kelegaan buat Tilla selepas penggambaran selesai kini, Tilla mahu berehat sehingga bersalin yang dijangka pada Mac tahun depan.

“Sebaik tamat penggambaran, saya bercuti dan berehat hinggalah selamat bersalin nanti. Saya mahu tumpukan sepenuh perhatian kepada Syeriv dan anak yang bakal lahir.

“Saya juga ada dengar ura-ura penerbit mahu menghasilkan sekuel drama ini. Jika betul, mereka kena tunggu hingga saya bersalin dan kuruskan badan.

“Selepas itu, barulah saya bersedia untuk kembali berlakon,” katanya.

Kongsi Tilla lagi, dia belum sempat menjalani pemeriksaan imbasan untuk mengetahui jantina bayinya.

“Meski kandungan sudah berusia lebih empat bulan, saya belum sempat buat pemeriksaan imbasan jantina. Pihak hospital terpaksa ingatkan saya mengenai temu janji itu.

“Memang kena buat, tetapi saya perlu selesaikan semua kerja dulu. Lagipun, Sam sibuk dengan promosi filem terbarunya. Apabila ada masa terluang, kami akan pergi buat pemeriksaan,” katanya.

Ditanya mengenai perasaan hamil sekali lagi selepas mengalami keguguran, Tilla meluahkan rasa syukur dan gembira apatah lagi ia adalah hadiah buat suami sempena ulang tahun ke-36 baru-baru ini.

“Alhamdulillah, ini rezeki Allah. Saya pun tidak menyangka cepat sangat sebab baru saja gugur.

“Diakui ketika itu rasa sedih sangat tetapi saya dan suami tidak putus asa serta yakin boleh cuba lagi. Alhamdulillah, bulan berikutnya Allah bagi kami rezeki terindah ini.

“Berita gembira itu pula sempena ulang tahun kelahiran suami. Saya sentiasa berdoa supaya anak dalam kandungan sihat sampai keluar melihat dunia nanti,” katanya.

Syatilla yang mendirikan rumah tangga pada Februari 2016 pernah keguguran sebelum dikurniakan cahaya mata lelaki, Syeriv Samheizy yang kini berusia 18 bulan.

Syatilla kemudian hamil anak kedua namun mengalami keguguran ketika berusia enam minggu iaitu selepas pulang bercuti.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 6:00am
d