utama

Si kecil derita jantung berlubang

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bayi berusia 16 bulan Nur Adawiyah Zulaikha Mohd Amirol, yang dilahirkan pramatang bukan saja menghidap sindrom down, malah menanggung derita akibat masalah jantung berlubang.

Ibunya Nur Zuhaira Zaini, 25, berkata, anak bongsu dari tiga beradik itu mengalami masalah jantung berlubang ketika usianya memasuki empat bulan.

Katanya, hasil pemeriksaan September lalu mengesahkan Nur Adawiyah menghidap sindrom down akibat faktor genetik.

Berikutan Nur Zuhaira dan suaminya Mohd Amirol Yasli, 25, perlu menjaga Nur Adawiyah dengan rapi.

Katanya, Nur Adawiyah lahir ketika kandungan berusia 34 minggu dan dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama 20 hari.

Jelasnya, Nur Adawiyah ditempatkan di NICU Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan dan di Hospital Port Dickson.

“Selepas dibenarkan pulang ke rumah Nur Adawiyah, tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan, tetapi ketika usianya masuk empat bulan dia mengalami batuk berdarah yang mulanya disangka deman biasa.

“Selepas pemeriksaan di hospital, doktor sahkan Nur Adawiyah menghidap jantung berlubang,” katanya yang menetap di Teluk Kemang, Port Dickson.

Wanita itu berkata, pada Jun lalu Nur Adawiyah ditahan selama 12 hari di wad akibat mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Katanya, Nur Adawiyah dibawa menjalani pemeriksaan di hospital dan doktor menyarankan bayi itu menjalani pembedahan segera bagi mengelakkan masalah jantung berlubang dialaminya bertambah serius.

Nur Zuhaira berkata, setakat ini doktor belum menetapkan tarikh pembedahan namun dia dan suami diminta bersedia.

Menurutnya, doktor tidak dapat memberikan jangkaan awal mengenai tahap kesihatan Nur Adawiyah selepas pembedahan.

Dia memberitahu Nur Adawiyah perlu di rujuk ke Hospital Serdang, Selangor tiga bulan sekali untuk mengetahui perkembangan kesihatannya.

“Kalau nak ke hospital suami mesti ada bersama, berikutan itu pada tarikh berkenaan dia kena minta cuti tanpa gaji daripada majikan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Amirol berkata, dia buntu memikirkan cara mendapatkan dana bagi membiayai kos pembedahan Nur Adawiyah.

Selain Nur Adawiyah, Mohd Amirol juga perlu menampung perbelanjaan dua lagi anaknya iaitu Mohd Danial Dasuki, 6, dan Nur Dinie Dahlia, 5.

Mohd Amirol berkata, pendapatan sebagai pemandu bot pisang tidak menentu dan bergantung kepada faktor cuaca.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pelayan di hotel namun sejak Nur Adawiyah disahkan menghidap jantung berlubang saya berhenti kerana kerja sekarang yang lebih fleksibel.

“Sekarang kami berjimat kerana n saya tiada gaji bulanan sebaliknya dibayar mengikut trip.

“Pernah saya pulang dengan tangan kosong kerana hujan berterusan pada hari berkenaan,” katanya.

Orang ramai ingin membantu Nur Adawiyah boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 155041883129 atas nama Nur Zuhaira Zaini.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 7:01am
d