utama

'Seronok boleh menyakat'

Oleh Redzuan Muharam

“APA yang saya lakukan ini bukan untuk menarik perhatian sesiapa, sebaliknya kerana minat beriadah dengan cara sebegini,” kata lelaki mahu dikenali sebagai Red yang aktif menyertai aktiviti larian dengan memakai kostum adiwira ‘Deadpool’.

Red berkata, dia mula menyertai aktiviti larian pada 2014, namun ketika itu penyertaannya sekadar mengisi masa lapang.

Menurutnya, selepas sering kali menyertai acara larian, dia merasakan aktiviti itu memberi kepuasan dan dia mula aktif mengambil bahagian sejak 2015 sehingga kini.

Katanya, pada mulanya, dia berlari tanpa memakai kostum, namun memilih untuk mengenakannya kerana menyedari lariannya tidak sepantas pelari lain.

“Ikutkan, saya mula memakai kostum ketika berlari pada tahun ini sejak kembali aktif selepas setahun berehat pada tahun lalu.

“Saya pilih untuk tampil dengan imej sebegini ketika menyertai acara kerana suka menyakat orang lain, jadi dengan memakai kostum saya dapat menghiburkan peserta lain supaya mereka tidak tertekan begitu tertekan ketika berlari.

“Ini kerana bagi saya, aktiviti ini adalah satu riadah yang menyeronokkan dan mewujudkan persaingan sihat jadi penting untuk kekal positif sepanjang larian,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, dia selesa memakai kostum ketika berlari walaupun persalinan itu menutup kesemua bahagian badannya termasuk mulut dan hidung.

Katanya, cabarannya adalah untuk bernafas dengan oksigen rendah tetapi disebabkan sudah terbiasa, dia tidak berdepan masalah ketika berlari walaupun pada jarak jauh.

“Pada mulanya, saya sangkakan susah untuk berlari dengan memakai kostum dan risau juga sekiranya tidak dapat bertahan sehingga ke garisan penamat.

“Namun, kegusaran itu hilang apabila sudah dapat membiasakan diri dengannya, malah saya pernah menamatkan larian pada jarak 21 kilometer.

“Boleh dikatakan, saya semakin selesa dan bercadang untuk kekal dengan penampilan sebegini. Kepuasannya apabila melihat peserta yang hampir putus asa ketika berlari kembali bersemangat selepas terhibur dengan gelagat saya,” katanya.

Katanya, dia turut bercadang untuk mengenakan kostum lain pada siri larian akan datang.

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 10:09pm
d