utama

Detik cemas saat dibedil [METROTV]

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Nor Farizan Abdull Rahman (jurugambar)

QABASIN, SYRIA: “Alhamdulillah Allah lindungi kami, peluru tidak tembus mengenai badan dan kami terselamat,” kata Adnan Dawood, 46, menceritakan detik cemas ditembak tentera Bashar Al Assad ketika melarikan diri dari Damsyik.

Kejadian berlaku tiga tahun lalu apabila Adnan bersama seorang lagi rakannya bertindak nekad merempuh sekatan dibuat tentera rejim itu.

Adnan berkata, tindakan nekad itu dilakukan susulan tidak tahan tinggal di Damsyik apabila tentera Bashar Al Assad menyerang kediaman penduduk menyebabkan ramai terkorban dan kawasan kediaman musnah.

“Kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi apabila kami ambil keputusan melarikan diri ke Aleppo.

“Sebaik melalui jalan

di hujung bandar Damsyik, tiba-tiba ada sekatan tentera Bashar dan kerana sudah terlalu dekat, kami nekad merempuhnya,” katanya ditemui ketika pengagihan barang keperluan musim sejuk oleh petugas Syria Care diketuai Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki, semalam.

Menurut Adnan, tindakannya itu menyebabkan tentera rejim berkenaan melepaskan tembakan menggunakan raifal AK47 ke arah kereta dinaikinya.

Katanya, ketika ditembak bertalu-talu, badannya menggigil dan menyangka pasti ada peluru yang sudah tembus ke badan.

“Ketika itu saya hanya berdoa kepada Allah SWT supaya diselamatkan biarpun rasa seolah-olah sudah ada peluru yang tembus mengenai badan.

“Namun, kerana takut kami teruskan perjalanan dan hanya berhenti kira-kira 45 minit kemudian apabila sudah jauh dari Damsyik untuk melihat keadaan kereta serta jika ada sebarang kecederaan akibat ditembak,” katanya.

Adnan berkata, bagaimanapun sebaik keluar, mereka mendapati tiada sebarang kecederaan dialami manakala peluru tidak menembusi cermin depan kenderaan biarpun cermin digunakan adalah yang asal dan bukan jenis kalis peluru.

“Itu antara keajaiban yang berlaku kepada kami dengan izin Allah SWT.

“Cermin kenderaan hanya retak dan langsung tidak berlubang biarpun ditembak dalam jarak antara empat hingga lima meter,” katanya.

Katanya, sehingga kini dia tidak menukar cermin kereta itu bagi mengingati detik cemas berkenaan.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 7:53am
d