utama

Sengsara kekurangan zat [METROTV]

Oleh Mohd Aizuddin Akmal Saad

MA’RIB: Menyaksikan kanak-kanak dengan susuk badan kurus hingga menampakkan tulang akibat kekurangan nutrisi antara pengalaman tidak dapat dilupakan ketika melawat hospital dan klinik di Jawf serta Ma’rib.

Pengalaman itu memberikan keinsafan kepada sukarelawan misi bantuan kemanusiaan anak muda dari Malaysia My Hope Hero dengan rakan kerjasama Malaysia Outreach Volunteer Experience, Volunteering Trip Malaysia, Restoran Olive by Ash Sham, Golden Future Foundation Indonesia dan Yemen Care.

Mengikut laporan pertubuhan kemanusiaan Save The Children, seramai 85,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun maut akibat kekurangan nutrisi, kebuluran dan serangan penyakit sejak perang saudara tercetus di Yaman pada 2015.

Anggaran itu berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran sekitar 14 juta orang berisiko mengalami masalah kebuluran.

Jawf sebuah bandar berdebu tidak memiliki jaringan jalan raya berturap menjadi destinasi paling jauh dalam jadual misi bantuan kemanusiaan.

Gelagat penduduk tempatan menggalas raifal AK-47 adalah satu pemandangan biasa di bandar ini.

Setibanya di Jawf, sukarelawan disambut Ketua Pertubuhan Badan Kemanusiaan Yaman, The Charitable Society For Social Welfare (CSSW) bagi wilayah Jawf, Hassan Mobarak yang kemudian membawa kami ke klinik kesihatan kanak-kanak Jawf.

Ketika di klinik, pandangan sukarelawan tertumpu ke arah seorang bayi lelaki dengan susuk badan agak kurus akibat kekurangan nutrisi.

Bayi 24 bulan, Naem Ahmad tidak henti-henti menangis ketika seorang doktor melakukan pemeriksaan.

Ketua klinik berkenaan Dr Mohamad Ilyas memberitahu, sejak 2015 pihaknya menerima 1,050 kes kekurangan nutrisi, namun sepanjang tempoh itu hanya seorang saja kanak-kanak disahkan meninggal dunia akibat masalah itu di Jawf.

“Sejak awal bulan ini pula, kami mengendalikan 42 kes kekurangan nutrisi dan jumlah itu semakin meningkat kesan peperangan di Yaman.

“Ibu bapa ada kesedaran mengenai penjagaan kesihatan, namun untuk ke klinik adalah satu masalah besar bagi mereka. Ramai dalam kalangan pesakit ini tinggal di pedalaman dan tidak memiliki pengangkutan.

“Berikutan itu, ada juga kes kanak-kanak mengalami masalah nutrisi tidak dapat direkod secara tepat,” katanya.

Menurutnya, setiap kanak-kanak bawah usia lima tahun layak mendapat suntikan nutrisi percuma daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tetapi bekalannya kerap tidak mencukupi.

Jelasnya keadaan lebih teruk di Hodeida dan sekitar wilayah Hajjah kerana ibu bapa dan anak mereka terperangkap dalam medan pertempuran

Bagi Fatima Sarif, 35, ditemui di Hospital Kara, Ma’arib, semasa membawa bayi lelakinya berusia 12 bulan mendapatkan rawatan memberitahu kekakngan kewangan dan pengangkutan adalah masalah utama ibu bapa di Yaman.

“Anak sulung saya mengalami masalah nutrisi dan perlu dirujuk ke klinik setiap minggu, namun masalah kewangan dan pengangkutan membataskan pergerakan saya,” katanya.

Petugas di Hospital Kara, Ma’arib memaklumkan 70 hingga 70 peratus daripada pesakit sedang dirawat bukan berasal dari wilayah Ma’arib sebaliknya pelarian perang.

Pengarah hospital itu DrLoay Muhammad Sulaiman dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan kes kekurangan zat makanan disebabkan tempat tinggal pelarian yang kotor, kekurangan air bersih dan makanan berkhasiat.

Loay berkata, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan WHO membekalkan ubat untuk masalah kolera dan kekurangan nutrisi.

“Namun jika bekalannya habis pihak hospital terpaksa membeli daripada pembekal di bandar lama seperti di Aden, Sana’a dan Seiyun menggunakan wang disumbangkan orang ramai.

“Sumbangan diterima tidak cukup untuk menampung keperluan ubat-ubatan pesakit kerana petugas memberi khidmat sukarela tanpa bayaran.

“Hospital ini juga kekurangan kakitangan perubatan dan menunggu doktor yang baru menamatkan pelajaran untuk berkhidmat di sini,” katanya.

Berdasarkan situasi semasa di bandar berkenaan, ketua misi Mohd Aiman Mohd Amir mewakili My Hope Hero, menyatakan hasrat untuk membantu dengan membawa doktor dari Malaysia.

Orang ramai ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 5623 4856 6865 atas nama Malaysian Outreach Volunteer Experience.

Kisah Salleh diami tanah kontang

SEIYUN: Tanah kering kontang, berdebu dan panas terik adalah suasana di sebuah khemah pelarian perang saudara Yaman di pinggir pedalaman Bandar Jawf, Yaman.

Sejurus tiba di khemah berkenaan, penulis bersama rombongan My Hope Hero dan beberapa lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain disambut Salleh Mohammad, 33, iaitu salah seorang pelarian yang berlindung di situ.

Lelaki memakai kemeja putih dan seluar hitam itu sebenarnya ketua kepada sebuah keluarga besar membabitkan 19 individu.

Ketika memperkenalkan dirinya, Salleh memberitahu dia menjaga empat adik perempuan dan anak saudara selepas iparnya meninggal dunia akibat kancah perang saudara.

Sebagai ketua bagi keluarga yang besar di zon konflik, Salleh mengakui dia memikul tanggungjawab amat berat terutama mencari wang bagi membeli bekalan makanan demi kelangsungan hidup.

“Adik-beradik dan anak saudara perempuan bawah jagaan saya tidak dibenarkan bekerja, jadi mereka duduk dalam khemah saja. Hanya kaum Adam saja dibenarkan bekerja dan setakat ini saya bersama anak saudara lelaki bekerja sebagai buruh atau tukang cat.

“Kami dibayar Yemeni Rial (YER) 1,200 atau RM20 bagi setiap tugasan. Sebelum ini kami tinggal di sebuah kampung di pinggir Bandar Jawf, tapi terpaksa berpindah ke sini selepas penempatan kami turut menjadi sebahagian medan pertempuran.

“Kerana tidak tahu ke mana mahu dituju, kami mendirikan khemah di tanah lapang yang gersang dan berdebu ini. Hanya tanah ini saja yang tidak dimiliki mana-mana pihak jadi kami tumpang berteduh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pertubuhan Badan Kemanusiaan Yaman, The Charitable Society For Social Welfare (CSSW) bagi wilayah Jawf, Hassan Mobarak berkata, pelarian dilarang mendirikan khemah dalam kawasan bandar, tanah milik persendirian atau kerajaan.

Hassan berkata, arahan itu dikeluarkan pemerintah tempatan sebelum ini dan pelarian perlu akur.

“Meskipun tanah lapang ini sempit pelarian tidak ada pilihan lain, mereka terpaksa berdepan cuaca panas mencecah 30 darjah Celsius pada waktu siang meskipun sekarang ini sudah masuk musim sejuk.

“Perkara ini membimbangkan kami, bagaimana pelarian akan mengharungi cuaca panas melampau ini tanpa sebarang keperluan asas.” katanya.

Kesempatan ketika di khemah berkenaan digunakan ahli rombongan My Hope Hero dengan rakan kerjasama Malaysia Outreach Volunteer Experience, Volunteering Trip Malaysia, Restoran Olive by Ash Sham, Golden Future Foundation Indonesia dan Yemen Care mengagihkan pek makanan kepada pelarian.

Salleh antara pelarian yang tidak melepaskan peluang mencuba hidangan pek makanan kembara menu nasi pilaf dan rendang daging malah dia yang kelihatan teruja memberitahu hidangan ringkas itu amat enak.

Agihan pek berkenaan adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada pelarian sama ada makanan disediakan sesuai dengan selera mereka atau sebaliknya.

Turut dibincangkan bersama wakil pelarian adalah pelaksanaan projek Dapur Kasih Buat Yaman bagi membekalkan pek makanan kembara menu hidangan Malaysia kepada keluarga pelarian di pinggir bandar Jawf.

Pelaksanaan projek Dapur Kasih Buat Yaman dengan kerjasama CSSW dijangka dimulakan Februari depan jika semua perancangan berjalan lancar.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia ingin membantu menjayakan program itu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank, 5623 4856 6865 atas nama Malaysian Outreach Volunteer Experience.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 10:00am
d