utama

Isteri maut ditikam

Oleh Hasbi Sidek

LELAKI warga emas sempat berlari ke arah sebuah klinik berdekatan dengan keadaan baju berlumuran darah, untuk meminta rawatan selepas dia dan isterinya diserang seorang lelaki di kawasan Pasar Sin Chun, Batu 16, Rawang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, isterinya, Yap Choon Mooi, 41, disahkan meninggal di Hospital Selayang, selepas parah ditikam pada bahagian dada.

Seorang lelaki yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia sedang bekerja di klinik berkenaan sebelum seorang lelaki berlari ke arah premis itu dan meminta untuk diberikan rawatan.

“Orang tua itu berlari seorang diri dengan bajunya dipenuhi darah dan memanggil doktor supaya merawatnya. Doktor bagaimanapun memaklumkan pendarahan yang dialami sangat teruk dan lelaki itu perlu ke hospital.

“Isterinya tidak bersamanya kerana difahamkan tidak sedarkan diri dan berada di kawasan pasar. Seorang rakan pasangan itu menghantar mereka ke hospital,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 49 tahun di sekitar lokasi kejadian dipercayai suspek dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan awal, kejadian berlaku kira-kira jam 6.40, apabila suami isteri berada di Jalan Tengah, Kampung Sungai Terentang, di Rawang, ditikam menggunakan pisau oleh seorang lelaki.

“Suspek dikenal pasti jiran kepada pasangan berkenaan. Choon Mooi meninggal dunia ketika tiba di Hospital Selayang akibat tikaman di bahagian dada, manakala mangsa lelaki dirawat di zon merah hospital sama kerana mengalami kecederaan luka pada bahagian perut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: December 11, 2018 @ 4:03pm
d