utama

Pemberontak ceroboh rumah bagi kata dua

Oleh Mohd Aizuddin Akmal Saad

MA’RIB: “Sokong kami atau segala-galanya dirampas,” itulah amaran pemberontak Houthi, masih menjadi igauan seorang pelarian perang, Imtisar Muhammad, 40.

Imtisar berkata, kejadian itu berlaku enam bulan lalu ketika sekumpulan pemberontak Houthi menceroboh kediamannya di bandar Sana’a, untuk memburu puak penyokong kerajaan Yaman,

Wanita itu yang ditemui di kem pelarian perang Al-Mill di pinggir bandar Ma’rib, kelihatan masih trauma dengan kejadian itu.

Dakwanya kejadian berlaku ketika dia bersama lima anak kecil berada di rumah, manakala suami bersama tiga lagi anak yang lain keluar bekerja sebagai buruh.

“Ketika itu saya menyerahkan segala-galanya kepada takdir dan berdoa agar pemberontak tidak mengapa-apakan kami enam beranak. Saya berdebar sepanjang kumpulan pemberontak menggeledah rumah kami.

“Keadaan menjadi lebih tegang apabila pemberontak menemui pek bantuan makanan asas baru diterima daripada pertubuhan kemanusiaan tempatan.

“Mereka mempersoalkan bagaimana saya memperoleh makanan itu. Pada masa yang sama seorang dari mereka berkata lebih baik pek makanan itu diserahkan kepada pemberontak yang mempertahankan Sana’a,” katanya.

Suri rumah itu berkata, pemberontak juga mengandaikan dia tidak menyokong perjuangan mereka jika enggan menyerahkan pek makanan berkenaan.

Menurutnya, risau dengan ancaman pemberontak, mereka 10 beranak kemudian mengambil keputusan untuk melarikan diri dengan berlindung di bandar Ma’rib yang menjadi tumpuan pelarian perang di Yaman.

“Jarak Sana’a ke bandar Ma’rib cuma 170 kilometer tapi bagi golongan miskin tegar seperti kami ini perjalanan ditempuh penuh berliku. Mujur ada pemandu lori sudi menumpang kami hingga sampai di kem ini.

“Ketika itu kami cuma membawa barangan keperluan penting saja, kerana risau dengan ancaman pemberontak. Sejak enam bulan lalu kem ini menjadi rumah kami,” katanya.

Meskipun tidak menerima ancaman pemberontak di kem berkenaan Imtisar, masih berasa bimbang dan ketakutan berikutan suami dan tiga anaknya jarang pulang ke khemah perlindungan mereka jika keluar bekerja.

“Empat beranak itu bekerja siang dan malam sebagai buruh, tapi upah diterima cuma YER1,500 (RM25) saja sehari,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2018 @ 8:54am
d