utama

Rela tinggal dalam khemah

Oleh Hasbi Sidek

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga bulan berlalu, masih ramai penduduk Palu termasuk warga emas dan kanak-kanak yang terkesan akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia, mendiami khemah yang dipasang di kawasan lapang.

Walaupun mempunyai dewan serba guna yang masih elok untuk didiami, kebanyakan mereka takut untuk tinggal dan tidur di dalam struktur bangunan kerana trauma dengan tragedi dahsyat yang menimpa.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Lumpur, Leftenan Muda (PA) Mohd Husni Zulkafli yang mengikuti Misi Bantuan Kemanusian ke Sulawesi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Pasukan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) Ohsem Network baru-baru ini, menceritakan pengalamannya sepanjang berada di sana.

Mohd Husni berkata, penduduk Palu ketika ini bukan saja memerlukan bantuan barang makanan atau tempat tinggal malah mereka juga amat memerlukan bantuan dari segi psikologi.

“Mangsa yang terbabit dalam tragedi itu mengalami trauma pasca bencana yang menyebabkan mereka takut untuk mendiami di dalam apa saja struktur binaan kerana masih teringat kejadian menyayat hati itu selain gempa susulan.

“Selain faktor itu, bilangan rumah yang dibina untuk menempatkan mangsa juga masih tidak mencukupi berbanding bilangan mangsa yang mana kediaman dan segala aset lenyap ditelan bumi,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, selain bantuan pakaian, makanan dan keperluan asas, penduduk di Palu amat memerlukan sokongan psikologi bagi menaikkan semula semangat mereka.

“Pihak kerajaan di sana turut mempromosikan hashtag (#) Palu Bangkit dan Palu Kuat sebagai memberi sokongan moral kepada mangsa bencana.

“Menurut cerita penduduk, kawasan berkenaan sering dilanda gempa bumi, namun kejadian pada 28 September lalu yang turut disusuli tsunami disifatkan cukup ‘aneh’ yang menyebabkan berlaku fenomena liquafaksi apabila bumi menelan manusia, rumah dan menterbalikkan tanah.

“Ini yang mereka alami sehingga takut untuk tinggal di dalam struktur bangunan,” katanya.

Sebanyak 500 kediaman yang berkonsepkan rumah panjang dibina kumpulan misi berkenaan menggunakan wang sumbangan.

Kediaman yang diberi nama Perkampungan Ummah itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 8:42am
d