utama

Ketepi kesakitan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

ALOR SETAR: Seorang gadis nekad mengetepikan kesakitan ditanggung demi berusaha mencari wang sendiri untuk membiayai rawatan ketumbuhan payudaranya yang dikesan tiga tahun lalu.

Puteri Nursyahirah Fazil, 22, gigih bekerja sebagai jurusolek sejak berusia 18 tahun bagi menampung kos rawatan dan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) membabitkan RM1,000 setiap tiga bulan.

“Payudara kanan membengkak secara tiba-tiba sebelum ketumbuhan dikesan kira-kira tiga tahun lalu, namun saya cuba melupakan kesakitan yang ditanggung kerana tidak mahu menyusahkan keluarga.

“Justeru, saya bekerja keras dengan menyertai pertunjukan fesyen yang memerlukan jurusolek, selain menerima tempahan daripada pengantin pada musim kenduri atau mengikut tema makan malam.

“Oleh kerana memerlukan wang, saya mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM300 untuk setiap solekan, namun boleh berbincang jika pelanggan tidak cukup bajet atau kurang berkemampuan,” katanyai, di sini.

Puteri Nursyahirah bersyukur sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga terutama ibunya (umi), Sharifah Rohanum Syed Omar, 46.

Dia berkata, mujur ketumbuhan dihidapi dikesan di peringkat awal. Dia mengikut nasihat doktor dengan mengambil ubat diberikan dan berpantang makan untuk mengelak penyakitnya semakin teruk.

Dia juga meningkatkan pengambilan makanan rebus dan minyak ikan untuk mengembalikan tenaga serta rambut yang luruh sebelum ini.

“Ketika ini, saya mempromosikan khidmat menyolek melalui Facebook dan Instagram.

“Alhamdulillah, banyak tempahan diterima, malah umi turut menjadi pembantu peribadi saya dengan keadaan kesihatan tidak menentu ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 8:44am
d